ACTiVE, UTHM anjur program latihan bakat digital, tingkat kesedaran belia terhadap TVET

Oleh Prof. Madya Dr. Nor Lisa Sulaiman

KLUANG – Bagi meraikan sambutan World Youth Skills Day 2022 UNESCO-UNEVOC International Centre bertemakan “Transforming Youth Skills for the Future”, Pusat Pendidikan Teknikal dan Vokasional Termaju  (ACTiVE), Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV) telah menganjurkan Program Impak Sosial: Digital Skills for Youth Development bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kota Paloh, Kluang pada 14 Julai 2022.

Menurut Pengarah Program yang juga Ketua ACTiVE, Prof. Madya Dr. Nor Lisa Sulaiman program ini diadakan bertujuan untuk menjayakan program UNESCO-UNEVOC dalam mempertingkatkan promosi dan kesedaran belia terhadap TVET seluruh dunia.

Program sambutan seperti ini dijalankan setiap tahun tambahan pula FPTV juga merupakan UNEVOC Centre (Uni/Research) sejak tahun 1999.

Selain itu, program impak sosial ini merupakan kesinambungan program yang telah dianjurkan melibatkan belia sekitar Parit Raja pada tahun lalu dan kini diperluaskan ke Kluang, Johor dengan memilih sekolah luar bandar yang berpotensi tinggi.

Program ini melibatkan penyertaan 39 pelajar tingkatan dua dan empat termasuk 32 guru sekolah yang mengikuti latihan asas digital, merangkumi penggunaan produk Google, konsep dan pengaplikasian IR 4.0 serta “Bicara ACTiVE: Kepentingan penyelidikan TVET dalam penyediaan bakat berketrampilan digital masa hadapan.”

Kerjasama pintar antara Unit STEM, FPTV bersama SMK Seri Kota Paloh, Kluang ini juga merupakan usaha berterusan penyelidik utama dan bersekutu ACTiVE dalam memberi pendedahan awal kepada generasi muda mengenai kepentingan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terutamanya dalam latihan dan pembangunan bakat asas digital sealiran dengan keperluan teknologi baru muncul.

Pengetua SMK Kota Seri Paloh, Noor Azura Jafferi merakamkan rasa terima kasih kepada pihak UTHM, FPTV serta ACTiVE kerana memilih sekolah tersebut.

“Penganjuran program ini memberi impak positif kepada warga sekolah terutama para pelajar dalam membuka minda dan mencari peluang untuk memilih bidang TVET sebagai bidang pekerjaan yang akan diceburi pada masa hadapan,” katanya.

Dr. Nor Lisa juga berharap pelaksanaan program sebegini mampu memupuk sifat tanggungjawab para penyelidik ACTiVE dalam memberi sumbangan pengetahuan dan kemahiran berbentuk latihan kepada komuniti selain menghasilkan penyelidikan dan penerbitan yang menepati konsep TVET iaitu menyediakan pembelajaran sepanjang hayat kepada masyarakat.

 

 

 

 

Categories
Pendidikan Teknikal VokasionalSosial , Kebajikan dan Masyarakat
Subscribe