Empat pelajar UTHM terpilih ke Misi Sukarelawan Siswa YSS, Sabah

Oleh Ts. Dr. Khalid Isa

BATU PAHAT – Empat pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah terpilih untuk menyertai Misi Sukarelawan Siswa YSS ke Tuaran, Kudat dan Beluran, Sabah 2022 yang bermula pada 29 Ogos sehingga 13 September 2022.

Empat pelajar tersebut iaitu Nurul Azreen Izzatie Roslan, Mohamad Amirul Hakim Hairizan, Muhammad Zikry Irfan Ruzaidi merupakan pelajar dari Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), manakala Nur Ain Abu Bakar dari Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB).

Menurut Ketua Jabatan Nilai dan Kesukarelawanan Pelajar, Pusat Pembangunan Pelajar (PBP), Ts. Dr. Khalid Isa pemilihan pelajar ini telah dibuat oleh pihak Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melalui proses temuduga yang dilakukan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah/Pengarah YSS yang telah dilaksanakan pada 5 Jun 2022 di KPT.

“Calon yang dipilih adalah mereka yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan dan yang mempunyai semangat sukarelawan yang tinggi serta aktif dalam aktiviti kemasyarakatan,” katanya.

Misi Sukarelawan Siswa ini akan dilaksanakan di enam kampung di Sabah iaitu Kampung Perpaduan (Pulau Banggi) Kudat, Kampung Indarason Laut (Matunggong) Kudat, Kampung Penimbawan Tuaran, Kampung Berungis Tuaran, Kampung Kabuluh (Paitan) Beluran, dan Kampung Tanjung Nipis (Paitan) Beluran.

“Misi sukarelawan ini bermatlamat untuk melahirkan pemimpin sukarelawan siswa di pentas global.

“Misi tersebut dilaksanakan menerusi konsep “immersion” yang mana sukarelawan siswa akan tinggal bersama komuniti tempatan dan melaksanakan kerja sukarelawan mengikut bidang pengajian masing-masing berteraskan right volunteers for the right job,” jelas Dr. Khalid.

Categories
Hal Ehwal PelajarSosial , Kebajikan dan Masyarakat
Subscribe