Oleh Ts. Muhammad Shukri Ahmad

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) telah berjaya mengadakan siri bengkel School Innovator Accelerator Programme (SIAP) – micro:bit untuk guru-guru sekolah di tiga daerah iaitu Pontian, Mersing dan Segamat, Johor.

Program ini dijalankan atas permintaan pihak JPN Johor untuk menyemarakkan minat dan seterusnya meningkatkan jumlah penyertaan pelajar daripada tiga daerah tersebut dalam pertandingan inovasi dan robotik.

Pusat Hubungan Industri dan Masyarakat (ICRC), UTHM berbesar hati menyalurkan dana ‘Program Impak Sosial’ bagi melaksanakan program SIAP ini.

Program ini dijalankan hasil kerjasama staf daripada Pusat Kejuruteraan Integrasi (I2E), Pusat Pengajian Diploma (CeDS) dan Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE), di bawah inisiatif MAKERSPACE@UTHM.

SIAP bermula pada 15 dan 16 Jun 2022 lalu bertempat di Pusat Kegiatan Guru Pontian, melibatkan penyertaan 35 guru, diikuti program di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mersing pada 13 dan 14 Julai, melibatkan 33 guru dan yang terakhir di SMK Gemereh, Segamat yang disertai oleh 45 guru.

Pada siri kali ini, peserta didedahkan dengan kaedah pengajaran pengaturcaraan mikropengawal micro:bit.

Uniknya, pengaturcaraan diajar secara praktikal menggunakan platform robotik hasil inovasi UTHM sekali gus menjadikan sesi pembelajaran lebih berkesan dan menyeronokkan.

Hasilnya, guru-guru menjadi lebih berkeyakinan untuk mengajar pengaturcaraan dan lebih bersedia untuk melatih pelajar untuk menyertai sebarang pertandingan inovasi dan robotik.

Pihak JPN Johor berterima kasih kepada UTHM dan berharap pelaksanaan program ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan sekali gus dapat menyebarluaskan ke daerah lain pula.