Program ‘SDG 13 Climate Action’ pupuk kesedaran pentingnya jaga alam sekitar

BATU PAHAT,18 Jun 2022 – Persatuan Pandu Puteri Siswi Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mengadakan satu program berkaitan pencemaran dan penjagaan alam sekitar yang bertajuk “Nature is Our Treasure, Let’s Preserve it” bersama 108 peserta Pandu Puteri Tunas dari tujuh sekolah rendah sekitar daerah Batu Pahat.

Program yang dilaksanakan secara hibrid itu dibuat secara dalam talian yang dikendalikan oleh 15 pelajar Pandu Puteri Siswi UTHM, manakala 14 pelajar lagi menguruskan program secara bersemuka melibatkan dua lokasi iaitu Sekolah Kebangsaan Tengku Mariam dan Sekolah Kebangsaan Sungai Kajang.

Program ini diisi dengan aktiviti yang mampu meningkatkan kesedaran peserta antaranya pertunjukan fesyen yang mana pelajar perlu membawa bahan kitar semula seperti surat khabar, plastik sampah dan botol plastik bagi menyiapkan sepasang pakaian dan memperagakan hasil kreativiti mereka dihadapan peserta.

Menurut Guru Besar SK Tengku Mariam, Norhaiza Tahir program sebegini sangat bermanfaat untuk pelajar sekolah kerana mereka perlu didedahkan dengan penjagaan alam sekitar seawal usia lagi.

 Beliau turut teruja kerana dapat menjalinkan kerjasama bersama tujuh sekolah di daerah Batu Pahat dalam melaksanakan Program ‘SDG 13 Climate Action’ ini.

“Inisiatif sebegini mampu mendekatkan pelajar universiti dengan komuniti setempat sekali gus dapat meningkatkan kemahiran insaniah mereka yang tidak boleh didapati di dalam kelas sahaja,” katanya yang juga alumni UTHM.

Program ini juga mendapat maklum balas yang sangat positif daripada ketujuh-tujuh Guru Besar sekolah yang terlibat dan mereka turut berbesar hati untuk bekerjasama lagi jika UTHM mahu menganjurkan lagi program sebegini.

 

Program secara bersemuka di SK Sungai Kajang.

Program bersemuka di SK Tengku Mariam.

Aktiviti pertunjukan fesyen.

Jalinan kerjasama UTHM dengan 7 Sekolah rendah sekitar daerah Batu Pahat.

Categories
Sosial , Kebajikan dan Masyarakat
Subscribe