BATU PAHAT – Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah melaksanakan projek Implimentasi Kelas Hibrid bagi memberi manfaat kepada komuniti setempat yang mana SMK Munshi Sulaiman, SMK Semerah, SMK Senggarang, dan SMK Suria Perdana telah terpilih sebagai sekolah perintis.

Projek berbentuk khidmat komuniti berkenaan melibatkan Implementasi Kelas Hibrid di Sekolah-sekolah Daerah Batu Pahat, Implementasi Sistem Akuaponik Interaktif (IAS) kepada Pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi dan Program Pendidikan Khas Inklusif (PPKI) serta Service Learning Malaysia-University for Society (SULAM) FKEE: Sistem Fertigasi kepada Pelajar PPKI.

Menurut ketua penyelidik, Profesor Madya Dr. Fauziahanim Che Seman pelaksanaan projek Implimentasi Kelas Hibrid tersebut bertitik-tolak daripada keperihatinan fakulti untuk membantu pihak sekolah dalam memastikan calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dikuarantin dan dijangkiti virus Covid-19 dapat hadir secara dalam talian bagi mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP).

“Projek ini telah menerima dana berjumlah USD5000 daripada geran The Institute of Electrical and Electronics Engineers (IEEE) Humanitarian Activities Committee (HAC) / Special Interest Group on Humanitarian Technology (SIGHT),” tambah beliau. 

Selain itu, FKEE juga telah melaksanakan projek IAS bertujuan membantu pihak sekolah dalam meningkatkan kemenjadian pelajar PPKI.

Projek yang diketuai oleh Ts. Sharifah Saon ini telah dibangunkan di SMK Munshi Sulaiman dengan pembiayaan sebanyak RM3,560 daripada Dana Projek Impak Sosial University for Society (U4S), Pusat Hubungan Industri dan Masyarakat (ICRC), UTHM.

Di samping itu, FKEE turut membangunkan projek Sistem Fertigasi kepada para pelajar PPKI di SMK Senggarang, SMK Munshi Sulaiman, SMK Banang Jaya, dan SMK Tun Ismail.Projek di bawah program SULAM ini diketuai oleh Profesor Madya Ir. Dr. Abd Kadir Mahamad.

Rentetan pelaksanaan projek-projek tersebut, satu majlis perasmian ‘Munshi Studios’ yang diwujudkan oleh SMK Munshi Sulaiman telah diadakan pada 26 Mei lalu bagi membolehkan pihak sekolah menjalankan pelbagai aktiviti dengan suasana yang lebih kondusif.

Majlis perasmian yang disempurnakan oleh Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Batu Pahat (PPDBP), Dr. Suhaimi Ismail turut dihadiri Dekan FKEE, Profesor Madya Dr. Rosli Omar, pasukan penyelidik FKEE, UTHM, para pengetua, guru penyelaras, dan guru sekolah-sekolah yang terlibat.

Dr. Rosli turut menzahirkan rasa terima kasih beliau kepada penyedia-penyedia dana dan mereka yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam pembangunan projek-projek ini.

“Pihak kami amat mengharapkan kerjasama dan hubungan baik antara FKEE, UTHM dan PPDBP serta sekolah-sekolah di sekitar daerah Batu Pahat yang sedia terjalin ini dapat diperkukuhkan dengan beberapa lagi projek hubungan masyarakat pada masa akan datang,” katanya.