Oleh Muhammad Shahrul Nizam Zulkifli

BATU PAHAT – Pasukan Latihan Pegawai Simpanan II (PALAPES II) I seksyen 1 dan 2 UTHM telah menjalankan program berbentuk University Community Engagement (UCE) iaitu “Palapes Pemangkin Negara” bersama 50 pelajar Politeknik Port Dickson secara dalam talian pada 3 dan 4 Jun 2022.

Program UCE ini merupakan program pelajar berkongsi ilmu berkaitan kursus yang diambil kepada masyarakat atau komuniti yang terpilih bagi menarik minat mereka tentang peranan yang boleh dimainkan bukan sekadar dalam ruang lingkup kuliah malahan sebagai agen penggerak masyarakat dalam kerja-kerja kesukarelawan.

Seramai 31 pelajar dari kedua-dua seksyen pasukan latihan pegawai simpanan II (PALAPES II) telah mengendalikan program tersebut.

Fokus utama penganjurannya adalah untuk memperkenalkan kepada para pelajar Politeknik tersebut mengenai PALAPES.

Mereka didedahkan tentang adat resam Palapes, tatacara pemakaian dan tatacara memberi hormat, dasar kepimpinan tentera darat dan tentang sejarah tentera darat bagi menarik minat mereka bagi menyambung pengajian yang lebih tinggi sekali gus melibatkan diri dalam kokurikulum PALAPES.

Pelbagai aktiviti dijalankan semasa program berlangsung antaranya adalah aktiviti kahoot bagi menguji kefahaman pelajar-pelajar Politeknik Port Dickson tentang maklumat yang disampaikan. 

Keputusan aktiviti tersebut mendapati hampir 90 peratus pelajar Politeknik tersebut dapat menjawab soalan yang dikemukakan. 

Turut diadakan, aktiviti soal jawab semasa program berlangsung bagi menambahkan lagi kefahaman peserta mengenai Palapes.

Program ini telah disempurnakan oleh jurulatih PALAPES UTHM, Sjn Redzuan Kosni.

Beliau dalam ucapannya menyeru kepada peserta untuk membuat sesuatu yang luar daripada kebiasaan contohnya dengan menyertai badan beruniform seperti PALAPES kerana banyak pengalaman yang boleh ditimba untuk menambahkan ilmu kemahiran yang ada.