BATU PAHAT, 22 Mei 2022 – Hampir setahun Nurhafiza Hamzah menjaga suami di hospital, bertemankan komputer riba menyiapkan tesis bagi menghabiskan pengajian di peringkat doktor falsafah.

Sepanjang tempoh itu, Nurhafiza tetap memastikan penulisan tesisnya berjalan walaupun ketika sedang menunggu prosedur dan proses hemodialisis suaminya.

Nurhafiza merupakan graduan sulung dan tunggal Pusat Pengajian Umum Dan Kokurikulum (PPUK) pada Konvokesyen ke 2021 Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Program pengajian Doktor Falsafah Umum di bawah Jabatan Pengajian Islam, PPUK ini merupakan program yang baharu diperkenalkan di UTHM dan melibatkan enrolmen pelajar pasca siswazah sahaja.

Anak kelahiran Seremban ini merupakan mantan pelajar Maahad Ahmadi Gemencheh Negeri Sembilan dan meneruskan pengajian sarjana muda di Universiti Malaya dalam bidang Usuluddin (Jabatan al-Quran dan Hadith).

Nurhafiza yang kini bertugas di Pejabat Penerbit UTHM meneruskan hasratnya dengan menyambung pengajian di peringkat Sarjana pada tahun 2014 hingga 2016.

“Rezeki saya dapat bergraduan bersama suami di peringkat sarjana muda dan diikuti sarjana pada tahun 2017 dalam bidang dakwah dan berkongsi penyelia yang sama di Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Sains Teknologi dan Pembangunan Insan, UTHM,” katanya.

Pada tahun yang sama juga Nurhafiza terus menyambung pengajiannya ke peringkat doktor falsafah kerana ingin memulakan lebih awal dan memberi laluan kepada suami menguruskan pusat pengajian pondok yang dibina bersama iaitu Pondok Pengajian Al Fateh yang terletak di Kampung Rahmat, Batu Pahat, Johor.

“Setelah mendapatkan kelulusan cuti belajar selama dua tahun, suami saya didiagnos sebagai pesakit buah pinggang tahap kronik dan perlu menjalani prosedur kesihatan di hospital.

“Di situlah tanggungjawab besar saya bermula iaitu perlu menjaga suami sakit, menguruskan keluarga dan melaksanakan tugas sebagai pelajar,” cerita beliau.

Tambah Nurhafiza, dia terpaksa melakukan pecutan akhir bagi menyiapkan tesis sejurus suaminya dibenarkan pulang ke rumah setelah hampir setahun dirawat di hospital.

“Ini kerana tidak lama selepas itu saya perlu melaporkan diri bertugas semula sebagai Pegawai Penerbitan Kanan,” katanya.

Menurut Nurhafiza, kejayaan yang dirangkulnya hari ini adalah berkat doa dan sokongan suami, ahli keluarga dan kenalan yang sentiasa berada di sekelilingnya.

“Ijazah doktor falsafah ini menjadi inspirasi kepada tiga anak yang menjadi saksi kepada perjalanan pengajian pasca siswazah saya, yang akhirnya sampai juga ke garisan penamat,” katanya.

 

Berita ini juga diterbitkan dalam :

1. sinarbestari.sinarharian.com, 24 Jun 2022 : https://sinarbestari.sinarharian.com.my/ipt/graduan-uthm-berjaya-siapkan-tesis-di-pusat-hemodialisis-demi-menjaga-suami-sakit/