Utusan Malaysia. 23 Mei 2022

PETALING JAYA: Kesesakan di kebanyakan lebuh raya terutama di Lebuhraya Persekutuan dan Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (MRR2) tidak selesai selagi kerajaan tidak mengambil perhatian tentang kualiti pengangkutan awam di negara ini.

Ini berikutan rakyat dilihat tidak selesa menggunakan pengangkutan awam dan terus memilih menggunakan kenderaan persendirian untuk menyelesaikan tugas-tugas harian.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Operasi Metro System Academy, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Dr. Mohd. Fahmy Abdullah berkata, penambahan pembinaan lebuh raya bertingkat atau sist em laluan bawah tanah bukan penyelesaian terbaik bagi menangani isu berkenaan. 

“Sebaliknya, kerajaan patut mencari penyelesaian isu pengangkutan awam yang lebih komprehensif.”

Kajian dan fokus sudah tentu di sekitar kesesakan melampau seperti di Lebuhraya Persekutuan dan MRR2 yang setiap detik menjadi penghubung antara bandar Kuala Lumpur dan kawasan pinggir bandar,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mohd. Fahmy berkata, perkhidmatan bas perantara perlu lebih sistematik atau kerajaan boleh mengkaji untuk menggantikan tanah laluan Lebuhraya Persekutuan dijadikan laluan pengangkutan awam 100 peratus kerana jumlah kenderaan semakin meningkat.

“Ia mungkin berkesan daripada kita terus menerus bergantung kepada penambahbaikan jalan, menambah satu laluan kepada tiga laluan dan juga membina lebuh raya bertingkat atas laluan sedia ada,” jelasnya.

Selain itu, menurut beliau, sistem laluan bawah tanah atau terowong pintar juga merupakan salah satu alternatif bagi mungkin mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas.

“Kerajaan telah menerima beberapa cadangan untuk membina terowong smart yang kedua.

“Namun, ia perlu dilihat pada aspek pembinaan terowong itu kerana melibatkan kos tinggi,” kata beliau.

Mingguan Malaysia melaporkan, kerajaan bakal membina tiga lebuh raya baharu di Lembah Klang bagi mengatasi masalah kesesakan dialami lima juta penduduk di semua kawasan terlibat.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, tiga projek itu ialah Petaling Jaya Trafic Disperal Evvated, Putrajaya-Bangi Expressway dan Kuala Lumpur Northern Dispersal Expressway.

 

Berita ini juga diterbitkan dalam :

1. Utusan Malaysia, 24 Mei 2022 : Tambah lebuh raya bukan penyelesaian ideal