BATU PAHAT- Rekod pada tahun 2019 hingga 2021 mencatatkan lebih 90 peratus graduan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya mendapat tempat dalam pasaran kerjaya di pelbagai sektor.

Naib Canselor UTHM, Prof. Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim berkata pada tahun lalu terdapat 10 program pengajian peringkat sarjana muda berjaya mencapai kadar GE 100 peratus.

“Sehingga hari ini, UTHM telah melahirkan seramai 53 760 graduan peringkat prasiswazah mahupun pasca siswazah.

“Pihak universiti akan cuba meningkatkan lagi pencapaian GE tersebut pada tahun-tahun mendatang,” katanya.

Bagi melahirkan graduan berdaya saing, pelbagai inisiatif dilaksanakan termasuk menjalin kerjasama dengan pihak industri dan melaksanakan program latihan berbentuk kemahiran semula dan peningkatan kemahiran.

Di UTHM, para pelajar diberi peluang untuk menyertai kursus-kursus pensijilan profesional atau kompetensi bagi menguasai kemahiran dalam bidang masing-masing seperti kompetensi digital, kemahiran asas digital dan kemahiran khusus berasaskan bidang.

Manakala program akademiknya pula telah direka bentuk berdasarkan kokurikulum terpacu industri (industry-driven) iaitu kaedah pelaksanaannya mengikut keperluan dan kehendak semasa pasaran industri.

Antaranya pelaksanaan program “Dua Tahun Universiti, Dua Tahun Industri” (2u2i), Program Akademik di Industri (WBL) iaitu pembelajaran berasaskan kerja dan Program Latihan Industri (SIP) yang memberi peluang kepada pelajar meningkatkan kemahiran semasa menjalani program latihan dan akademik di industri.

Selain itu, UTHM juga turut menjalinkan kerjasama dengan industri melalui penubuhan Teaching Factory iaitu kemudahan pengajaran dan pembelajaran (PdP) berkonsepkan kilang industri, Centre of Industry (Col) yang membina rangkaian kerjasama dengan industri bagi menyokong aktiviti penyelidikan dan pengajaran serta Inkubator perniagaan yang memberi peluang kepada pelajar untuk terlibat dalam keusahawanan.

Sehingga hari ini, inisiatif tersebut telah menyumbang kepada keberkesanan setiap program akademik dalam memastikan setiap silibusnya kekal relevan dan graduan yang dilahirkan memenuhi kehendak industri.

UTHM melalui Pusat Kemajuan Kerjaya dan Alumni pula rancak menganjurkan program-program yang membantu graduan mencari dan mendapatkan peluang pekerjaan antaranya penganjuran MyCareer@MOHE, Karnival Kerjaya Dalam Talian, Career Month @ Jobcentre UTHM, Bengkel Penulisan Resume, Program Kekemasan Pengurusan dan Penampilan Diri, Program ‘Meet The Employer’ dan Hiring & Physical Interview.

“Pihak kami akan terus komited dalam mempersiapkan graduan dengan ilmu, kepakaran dan profesionalisme serta kemahiran insaniah yang tinggi bagi membantu mereka menghadapi alam pekerjaan kelak,” kata Prof. Ruzairi.

 

 

Berita ini juga diterbitkan di:

1. Media Digital Johor (mediadigital.gov.my) : Graduan UTHM Laris

GRADUAN UTHM LARIS

 

2. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 10 Januari 2023: Graduan UTHM dapat tempat dalam pasaran kerja

https://malaysiagazette.com/2023/01/10/graduan-uthm-dapat-tempat-dalam-pasaran-kerja/