Noor Syuhada Abdul Manaf menjadi alumni pertama program Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Awam (Perkhidmatan Bangunan) Dengan Kepujian (BNB) yang berjaya mendaftar sebagai Jurutera Berijazah (Graduate Engineer-GE) Fakulti Teknologi Kejuruteraan di bawah Lembaga Jurutera Malaysia (BEM).

Kejayaan Noor Syuhada mendaftarkan diri sebagai Jurutera Berijazah dibantu oleh mentornya Ir. Ts. Dr. Mohd Kamaruzaman Musa yang sentiasa memberi dorongan dan tunjuk ajar tanpa jemu.

Alumni BNB ini berjaya menamatkan pengajian Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan pada tahun 2016 sebelum meneruskan pengajiannya dalam bidang Sarjana Kejuruteraan Awam secara sepenuh masa selama satu tahun enam bulan.

Pendaftaran beliau telah disahkan oleh BEM pada 21 Oktober 2021 lalu dengan memenuhi semua syarat yang ditetapkan di bawah seksyen 10(2) Registration of Engineers Act 1967 (Revised 2015) dan Registration of Engineers Regulations 1990 (Revised 2015).

Dekan FTK, Prof. Madya Ts. Dr. Jumadi Abdul Sukor mewakili fakulti turut mengucapkan tahniah kepada Noor Syuhada.

“Saya berharap kejayaan ini mampu menjadi inspirasi dan panduan kepada semua graduan bidang teknologi kejuruteraan khususnya untuk menjadi jurutera profesional yang berjaya satu hari kelak,” katanya.