Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah melancarkan teknologi data raya yang dibangunkan bagi sistem elektrifikasi tren secara maya pada 10 Mac 2022 lalu, disusuli dengan majlis penyerahan projek yang diadakan pada 13 April 2022.

Kerjasama penyelidikan ini berbentuk perkongsian kepakaran oleh kumpulan penyelidik UTHM bersama dengan KTMB yang telah dimeterai dalam perjanjian persefahaman pada 3 Ogos 2020 lalu yang diadakan secara tertutup.

Projek pembangunan aplikasi ini telah dijalankan sejak tahun 2019 oleh kumpulan penyelidik UTHM yang diketuai oleh Ts. Dr. Hairulazwan Hashim dari Pusat Kecemerlangan ICoE-Rel, bersama penyelidik dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan dan Pusat Pengajian Diploma.

Penyelidikan ini juga adalah hasil kolaborasi dengan syarikat Prestigious Discovery Sdn. Bhd. (PDSB) yang mempunyai kepakaran dalam sistem SCADA.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd Rani Hisham Samsudin, KTMB sentiasa mengalu-alukan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak termasuklah UTHM.

“Kerjasama ini mampu membantu kami mengorak langkah ke era digitalisasi dan ianya penting bagi sistem elektrifikasi perkhidmatan KTMB.

“Kita dapat menyaksikan satu produk yang dihasilkan berasaskan konsep Big Data Analytics yang mana data-data yang dijana melalui sistem SCADA digunakan khusus untuk pemantauan sistem elektrifikasi, dianalisa oleh sistem pengkomputeran dan menghasilkan trends dan patterns.

“Dengan ini ia dapat membantu jabatan elektrifikasi untuk membuat keputusan agar tindakan awal atau tindakan yang betul dapat diambil dengan segera dalam menjalankan kerja-kerja penyenggaraan,” katanya.

Sementara itu, Dr. Hairulazwan bersama pasukannya turut melahirkan hasrat untuk berusaha keras mengeksplorasi peluang penyelidikan dan inovasi (R&D) yang baharu dengan sebahagian aktiviti penyelidikan dilaksanakan secara dalam talian mengikut kesesuaian skop projek.

Menurut beliau, walaupun aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) sedikit terjejas hasil evolusi norma baharu kesan daripada Covid-19 namun tidak bermakna aktiviti dan kerjasama antara universiti dan industri perlu dihentikan.

“Sebagai penyelidik, kami perlu aktif dalam membantu industri menginovasi sistem yang sedia ada mengikut kepakaran masing-masing sekali gus membantu menaikkan nama UTHM sebagai peneraju utama universiti awam dalam bidang pengangkutan rel,” katanya.

 

 

Berita ini juga diterbitkan di pautan berikut:

https://dagangnews.com/ktmb-uthm-lancar-teknologi-data-raya-bagi-sistem-elektrikfikasi-tren-13714