TAWAU – Pasukan Dr. Air dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sekali lagi menyumbang kepakaran mereka bagi membantu penduduk di penempatan ladang daerah Tawau yang mengalami masalah mendapatkan bekalan air bersih.

Dr. Air bekerjasama dengan syarikat tempatan bagi menyediakan bekalan air bersih bertapis bagi menyelesaikan masalah yang sudah berlarutan selama lebih 30 tahun.

Menurut penduduk di penempatan terbabit, pihak ladang telah menggunakan lori tangki setiap hari bagi mengangkut air bersih untuk kegunaan harian.

Bagi menampung keperluan harian yang tinggi, penduduk juga terpaksa menggunakan air hujan serta turut mencatu air semasa musim kemarau.

*Penduduk terpaksa menadah air hujan dengan tangki untuk keperluan 

Prihatin dengan masalah tersebut, pasukan Dr. Air membuktikan kepakarannya dalam menapis air bawah tanah atau telaga tiub sebagai sumber air utama untuk keperluan harian penduduk.

Dengan menggunakan kaedah yang dibangunkan oleh dua penyelidik iaitu Prof. Madya Dr. Mohd Zainizan Sahdan dan Ts. Muhammad Erwan Zaki Mat Radzi, air yang asalnya keruh dan tidak sesuai diminum bertukar menjadi jernih dan berpiawaian air mineral.

Pihak pengurusan ladang juga turut mencuba sendiri air dari penapis berkenaan dan sangat gembira dengan hasilnya.

Terdahulu, pasukan Dr. Air telah melindungi inovasi ini di bawah Akta Hakcipta Terpelihara UTHM.

Menurut Dr. Zainizan, teknologi penapisan ini tidak menggunakan pasir sebagaimana penapis biasa kerana untuk sumber air bawah tanah, penggunaan pasir sebagai bahan penapis akan menyebabkan keberkesanan penapisan air berkurangan.

“Selain sistem automatik, sistem penapisan air Dr. Air dilengkapi dengan sistem ultra dan ultraviolet (UV) bagi menghasilkan air yang berkualiti air mineral serta bebas kuman.

“Sistem ini juga mudah alih dan boleh dipindahkan ke kawasan lain bagi kegunaan sementara,” katanya.

Berikutan pasukan Dr. Air berjaya membuktikan keupayaannya untuk menapis air ke tahap kualiti air mineral, pihak Sawit Kinabalu telah memberikan lebih banyak tempat untuk dibangunkan dengan menggunakan teknologi penapisan air ultra tersebut.

 

*Perbezaan kualiti air sebelum dan selepas di tapis oleh penapis air Containerised Water Filtration System Ultra©