Oleh Dr. Mohd Faisal Hushim, Dr. Syabillah Sulaiman, Dr. Md Norrizam Mohmad Ja’at @ Mohd Noh

Teknologi automotif yang semakin berkembang pesat di samping keperluan kepada mobiliti yang lestari telah mendorong Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menubuhkan sebuah pusat servis kenderaan iaitu UNITECH AUTOWORK SOLUTIONS (UNITECH) yang berkonsepkan ‘in-house centre.’

UNITECH telah ditubuhkan dengan fokus utama sebagai penyedia perkhidmatan pembaikan dan pengujian kecekapan kenderaan yang bertempat di UTHM Kampus Cawangan Pagoh.

Dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Dato’ Sri Ibrahim Ahmad pada tahun 2021, UNITECH digerakkan oleh 15 tenaga kerja yang berpengalaman selama lebih 20 tahun dalam pelbagai cabang automotif.

Ini kerana pengalaman, kecekapan dan pengetahuan dalam bidang automotif amat diperlukan bagi memastikan pelanggan mendapat servis yang optimal.

Menurut Pengarah Urusan UNITECH, Dr. Md Norrizam Mohmad Ja’at @ Mohd Noh,  UNITECH menawarkan perkhidmatan pembaikan yang cekap dan berkualiti bagi menjadikan ia sebagai pilihan utama pemilik kenderaan dalam kalangan warga UTHM dan Hab Pendidikan Tinggi Pagoh yang mencari kepakaran penyelenggaraan dan pembaikan spesifik untuk kenderaan mereka.

“Di samping memberikan perkhidmatan dalam membaiki dan menguji kereta konvensional, UNITECH turut mendukung peralihan kepada kenderaan elektrik yang semakin mendominasi pasaran,” katanya.

Perkembangan dan transformasi yang begitu cepat telah mendorong UNITECH untuk turut menyedia dan melahirkan tenaga kerja yang berkualiti tinggi.

Ini kerana transformasi dalam bidang automotif ini boleh dicapai melalui penyatuan pengetahuan dan kemahiran.

Komitmen dalam melahirkan pelatih yang mahir dalam bidang industri automotif, UNITECH turut memberikan penekanan terhadap latihan industri kepada pelajar, yang membolehkan mereka mendapat pengalaman praktikal yang berharga di bawah bimbingan profesional dengan menggunakan teknologi yang terkini.

“Terdorong untuk membina bakat yang segar, pelajar akan mendapat akses dan pengalaman menggunakan peralatan terkini dalam membolehkan mereka memahami aspek teknikal yang kompleks dalam bidang ini.

“Seterusnya sebagai satu inisiatif dalam membuka peluang pekerjaan kepada pelajar selepas menamatkan latihan mereka,” tambah beliau.

Di samping komitmen dalam penyediaan latihan dan servis kenderaan, UNITECH juga berkomitmen untuk berada di barisan hadapan dalam penyelidikan dan inovasi bidang automotif bagi meningkatkan prestasi kenderaan elektrik dan menyumbang kepada pembangunan teknologi hijau.

Ini menjadikan UNITECH sebagai satu organisasi yang mempunyai kelebihan kompetitif di samping mencerminkan tanggungjawab sosial terhadap alam sekitar.

“Dengan memberikan perkhidmatan berkualiti tinggi dan latihan industri, UNITECH bukan sahaja menjadi teraju dalam industri automotif, tetapi mengukuhkan peranan dalam pembentukan masa depan yang berkesan,” kata Dr. Norrizam.

 

Naib Canselor UTHM, Prof. Dato’ Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim melawat UNITECH pada 6 Februari 2024 lalu.