PAHANG, 1 Januari 2022 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) hari ini telah menggerakkan misi bantuan banjir yang kesembilan dengan mengedarkan peralatan keperluan harian bernilai lebih RM90 ribu kepada mangsa banjir.

Dana yang terkumpul untuk misi ini merupakan hasil sumbangan warga UTHM dan juga orang ramai.

UTHM melalui Yayasan UTHM telah berkolaborasi dengan pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk menyalurkan bantuan tersebut kepada mangsa-mangsa banjir.

Sebahagian daripada sumbangan tersebut disalurkan kepada mangsa banjir di kawasan Pahang.

UTHM juga pada masa yang sama telah menggerakkan hampir 100 sukarelawan bagi kerja-kerja pembersihan di kawasan Pekan Sungai Lembing, Pahang melibatkan kawasan komuniti seperti kedai, balairaya dan seumpamanya.

Terdahulu Ketua Kluster UTHM Prihatin, Zaharah Abd Samad telah menyempurnakan upacara pelepasan misi bantuan banjir ke Pahang bagi menyalurkan sumbangan kepada mangsa banjir di sana.

Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly mewakili pihak universiti mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua penyumbang dalam membantu mangsa yang terkesan dengan bencana alam tersebut.

“Semoga segala sumbangan yang diberikan oleh para penyumbang sama ada daripada staf UTHM atau orang ramai dapat membantu meringankan bebanan yang ditanggung oleh mangsa banjir.

“Universiti melalui kluster ‘UTHM Prihatin’ sentiasa peka dan cakna terhadap isu-isu kemasyarakatan terutama berkaitan bencana banjir yang melanda negara ketika ini, ” katanya.

Warga UTHM dan orang ramai boleh menyalurkan sumbangan anda bagi menjayakan Misi Bantuan Banjir UTHM melalui sumbangan ke Akaun Yayasan UTHM (Bank Rakyat 1101686275) atau saluran ToyyibPay –

https://toyyibpay.com/Dana-Mangsa-Banjir-SV-UTHM

   

Berita ini juga telah diterbitkan dalam :

1. sinarbestari.sinarharian.com, 21 Januari 2022 : https://sinarbestari.sinarharian.com.my/ipt/uthm-sumbang-rm90-ribu-untuk-keperluan-mangsa-banjir-negara/