Oleh Ir. Ts. Dr. Norfaiza Fuad

BATU PAHAT, 23 Nov 2021 – Institut Ahli Sunnah Wal Jamaah (ISWAJ) dan KANZU Research, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menjalinkan kerjasama berkaitan “Digital Wakaf: Strategi Pengurusan Wakaf IR 4.0” melibatkan penyelidikan dan perundingan (R&D) terutamanya dalam bidang Pengurusan Harta Tanah Islam, Digital Wakaf, Pembangunan Sistem Perkuburan Pintar dan Sistem Pengurusan Rumah Warga Emas.

Bagi merealisasikan hasrat tersebut, satu majlis ringkas berkonsep bual santai telah diadakan bertempat di KANZU Research: Resilient Built Environment bertujuan membincangkan inisiatif dalaman yang akan dilaksanakan oleh kedua-dua pihak.

Hadir ke majlis itu, Ahli Lembaga Pengarah UTHM, Profesor Dr. Yusri Yusof selaku wakil rasmi Pengerusi LPU, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dr. Shahir Shamsir Omar, Ketua Kumpulan Penyelidikan KANZU Research, Sr. Dr. Noralfishah Sulaiman dan Pengarah Iswaj, Ustaz Mustapahayuddin Abdul Khalim.

Menurut Ustaz Mustapahayuddin, kerjasama ini akan dipanjangkan kepada Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) dan lain-lain majlis agama di seluruh Malaysia.

Tambah beliau, pihak KANZU Research berbesar hati menyerahkan geran sepadan iaitu Geran As-Sahaba berjumlah RM10 ribu kepada ISWAJ untuk penyelidikan ini.

Sementara itu, Prof. Yusri dalam ucapannya menzahirkan ucapan tahniah kepada kedua-dua entiti ilmu ini dan berharap kerjasama dalaman seperti ini dapat dicontohi dan dipraktikkan oleh pusat tanggungjawab (PTj) dan kumpulan fokus lain yang berada di bawah naungan UTHM.

“Semoga kerjasama seumpama ini akan mewujudkan integrasi disiplin ilmu agama dan teknologi yang boleh menyumbang kepada kemajuan ummah,” katanya.