Oleh Ts. Gs. Dr. Kamarul Rahim Kamarudin

PAGOH –  Tahun 2021 ini menyaksikan dua surat hasrat (Letter of Intent) berkaitan penyelidikan berasaskan gamat telah didaftarkan secara rasmi oleh Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) ke dalam Sistem Kerjasama Universiti (SKU).

Kedua-dua kerjasama penyelidikan tersebut telah dijalinkan melalui Centre of Research for Sustainable Uses of Natural Resources (SUNR), Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi.

Menurut Ketua SUNR, Ts. Gs. Dr. Kamarul Rahim Kamarudin, gamat merupakan hidupan laut yang amat terkenal di Semenanjung Malaysia dalam industri perubatan tradisional seperti minyak gamat dan air gamat di Langkawi dan Pangkor, manakala di Sabah gamat terkenal dalam industri makanan iaitu beche-de-mer atau trepang.

Gamat, timun laut, bat dan balat adalah antara nama-nama panggilan tempatan yang digunakan di Malaysia. Selain daripada penghasilan secara tradisional, teknologi-teknologi terkini juga digunakan dalam penghasilan produk-produk berasaskan gamat termasuklah dalam industri kosmetik dan makanan kesihatan.

Surat hasrat yang pertama telah ditandatangani pada 21 Jun 2021 di antara UTHM dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebagai langkah pertama dalam kerjasama penyelidikan berasaskan gamat. Antara fokus utama persetujuan tersebut ialah dalam bidang sains bioperubatan dan rawatan mulut.

Dr. Kamarul telah bertindak sebagai pakar runding dalam mengukuhkan jalinan kerjasama dengan Dr. Nurharnani Harun dari Center of Oral & Maxillofacial Diagnostic & Medicine dan Ts. Nurhaslina Hasan dari Center of Preclinical Science Studies, Fakulti Pergigian, UiTM. Satu spesies tempatan timun laut telah dikenal pasti mempunyai potensi tinggi untuk digunakan dalam penyelidikan berkaitan rawatan mulut.

Pada 12 Oktober 2021, satu lagi surat hasrat telah ditandatangani di antara UTHM dan Leave a Nest Malaysia Sdn. Bhd., sebuah anak syarikat Jepun sebagai langkah seterusnya dalam kerjasama penyelidikan berasaskan gamat di peringkat antarabangsa. Bidang sains bioperubatan dan herba tradisi merupakan fokus utama jalinan kerjasama tersebut yang turut melibatkan syarikat antarabangsa Delightex Pte. Ltd. Singapore.

Dr. Arief Izzairy Zamani dan Dr. Mohd Izwan Zainol dari Leave a Nest Malaysia bertindak sebagai pemudahcara dalam pelantikan penyelidik UTHM, Dr. Kamarul sebagai pakar perunding.

Antara aktiviti kerjasama yang telah berjaya dilaksanakan ialah pembekalan serbuk gamat dan timun laut bagi tujuan penyelidikan berdasarkan khidmat nasihat Dr. Kamarul. Penempatan kakitangan dan pelajar UTHM di Nest-Bio Venture Lab bagi tujuan penyelidikan dan latihan merupakan kerjasama seterusnya yang terkandung dalam surat hasrat.

UTHM berharap jalinan kerjasama kebangsaan dan antarabangsa dalam penyelidikan berasaskan gamat dengan UiTM dan Leave a Nest Malaysia dapat terus diperkukuh dan dipertingkatkan ke tahap memorandum persefahaman (MOU) dan/atau memorandum perjanjian (MOA).