Ts. Dr. Affero Ismail

Transformasi ke arah pendigitalan bukan sahaja berlaku dalam sektor pendidikan, malahan juga dari pelbagai sektor perindustrian dan ekonomi. Ini selari dengan inisiatif MyDIGITAL yang mensasarkan kepada negara termaju dari segi teknologi, berpacukan digital dan peneraju ekonomi digital serantau menjelang 2030.

Melalui aspirasi UTHM EDU-TRAIN, transformasi pendigitalan TVET merupakan satu mekanisma terbaik dalam membentuk graduan yang kompeten, profesional dan mempunyai kemahiran keusahawanan.

Justeru itu, satu memorandum persetujuan (MoA) telah dimeterai antara Universiti Tun Hussein Onn Maaysia (UTHM) dan Labtech International bagi memastikan transformasi ini berjaya dilaksanakan.

Hasil daripada perjanjian kerjasama ini, satu pusat industri iaitu UTHM-Labtech Digital Innovation Centre telah dibangunkan.

Pusat ini diketuai oleh Ts. Dr. Affero Ismail dan dibantu oleh empat orang felo utama bagi menjalankan fungsi dan peranan pusat ini dengan lebih efektif.

Menurut Dekan Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), Profesor Madya Ts. Dr. Abdul Rasid Abdul Razzaq, tujuan utama penubuhan pusat ini adalah untuk menjadi pusat rujukan bagi TVET Digital di peringkat nasional dan antarabangsa.

Penubuhan pusat ini disokong penuh oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UTHM,  Profesor Dr. Mohd Shahir Shamsir Omar menyokong penuh penubuhan pusat industri ini sebagai pengiktirafan kepada penglibatan strategik industri bersama akademia.

Mengorak langkah yang lebih proaktif, pelbagai aktiviti telah dirancang seperti latihan dan pemindahan pengetahuan untuk staf, pelajar dan komuniti serta pembangunan bahan pembelajaran digital.

Selain itu, kerjasama dengan agensi kerajaan dan swasta juga turut giat dijalankan. Merealisasikan transformasi TVET digital, sokongan dari aspek infrastruktur, infostruktur dan infobudaya perlu dilaksanakan secara menyeluruh.

Namun, pendigitalan TVET ini tidak akan berjaya tanpa komitmen dan perubahan dalam sikap individu yang terlibat dalam pembelajaran TVET secara digital.  Jika transfromasi TVET Digital ini dapat dilaksanakan, ia akan menjadi satu inovasi dalam strategi memartabatkan pembelajaran TVET seiring dengan Revolusi Perindustrian 4.0.

 

 

 

: Penulis merupakan Ketua Pusat Industri, Pusat Inovasi Digital (UTHM-Labtech)