BATU PAHAT – Koperasi UTHM Berhad (KUTHMB) menjalinkan kerjasama dengan beberapa pihak bagi meningkatkan lagi peranan koperasi dalam perniagaan untuk manfaat ahli-ahlinya sekali gus membantu merancakkan industri food and beverage (F&B) tempatan.

Bagi merealisasikan hasrat itu, satu majlis menandatangani Letter of Intent (LoI) yang disaksikan rakan-rakan strategik KUTHMB telah diadakan pada 1 November 2021 lalu bertempat di pejabat koperasi.

Hadir sama ke majlis tersebut, Dato’ Haji Mohamad Ali Hasan selaku wakil rasmi Presiden ANGKASA Malaysia, Timbalan Presiden dan Naib-naib Presiden ANGKASA pusat, Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan ANGKASA Negeri Johor, Haji Sazali Abdul Hamid dan Ahli Jawatankuasa JPAN Johor, Ketua Pegawai Eksekutif Jiu Yi Berhad, Dato Sri Lim Voon Siong, Ketua Pegawai Eksekutif Jamu Mak Dara, Tuan Syed Muhammad Gadaffi Syed Ali  dan Pengurus Secangkir Akademi, Dr. Zulkeflihibri Baharom.

Menurut pengerusi KUTHMB, Profesor Madya Dr. Razali Hassan, kerjasama yang dimeterai antara KUTHMB dan rakan srategik dengan Syarikat JiuYi Group adalah bagi meluaskan rangkaian perniagaan bidang F&B melalui jenama “Secangkir Coopitiam.”

“Ini termasuklah cadangan membuka tapak perniagaan food truck di sekitar daerah batu pahat, mengadakan kursus barista profesional dan membantu usahawan kopitiam mendapatkan persijilan halal,” katanya.

Tambah beliau kerjasama seumpama ini akan menjadi rujukan koperator-koperator tempatan dalam menjalankan perniagaan secara berkolaboratif.

“Pelbagai peluang pekerjaan akan dapat diwujudkan bagi membantu golongan belia mendapat pekerjaan khususnya belia lepasan sekolah dan dari institusi latihan kemahiran tempatan.

Selain itu, peranan rakan strategik dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dilihat tidak kurang pentingnya bagi menunjukkan komitmen universiti kepada masyarakat setempat.

Menurut Dr. Razali lagi, pelbagai initiatif akan dilaksanakan bagi membantu industri F&B tempatan antaranya dengan mengadakan persijilan halal dengan kerjasama Institut Ahli Sunnah Wal Jamaah UTHM, kajian analisis jurang kompetensi TVET dalam industri F&B yang akan dijalankan bersama oleh pihak Institut Penyelidikan Pendidikan dan Latihan Vokasional Malaysia (MyRIVET) dan  latihan peningkatan kompetensi profesional kemahiran TVET dalam bidang F&B oleh Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional, UTHM khususya sebagai pengendali makanan dan barista profesional.

“Selaras dengan belanjawan 2022 yang diumumkan baru-baru ini, langkah proaktif perlu diambil oleh pelbagai pihak bagi memanfaatkan peruntukan kewangan oleh pihak kerajaan bagi membantu golongan B40 dan M40 yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Mereka yang telah hilang pekerjaan perlu mencari kemahiran alternatif bagi mendapatkan pekerjaan semula dengan bantuan institusi TVET yang terdapat di sekitar daerah batu pahat khususnya,” katanya.