BATU PAHAT – Produk krim bayi ‘The Babylaena’ hasil penyelidikan Syarikat Terbitan Universiti, ProNature Living Solutions Sdn. Bhd. berjaya mendapat pengiktirafan nano daripada NanoMalaysia Berhad (NMB), salah satu agensi dibawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI).

Pengiktirafan itu diberikan setelah produk tersebut lulus kriteria penilaian dan berjaya memenuhi keperluan teknikal untuk NANOVerify Programme (Product Certification System: Type 5).

The Babylaena yang dihasilkan oleh empat penyelidik UTHM iaitu Profesor Madya Dr. Noor Akhmazillah Mohd Fauzi, Ts. Dr Aliff Hisham A Razak, Ts. Dr. Sity Aishah Mansur dan Profesor Madya Dr. Angzzas Sari Mohd Kassim merupakan produk nanoteknologi ke-22 yang telah disenaraikan di bawah NANOVerify Programme dan telah diperakui di Malaysia.

Menurut Dr. Noor Akhmazillah, pengiktirafan itu turut diterima kerana produk yang dihasilkan mempunyai elemen nano yang bersaiz 1 sehingga 100 nm.

Jelas beliau, penghasilan The Babylaena bermula dengan kajian terhadap ekstrak tumbuhan herba Chromolaena odorata (pokok kapal terbang) pada tahun 2018 dan seterusnya pembangunan formulasi dibangunkan secara saintifik, sehinggalah prototaip berjaya dihasilkan pada tahun 2021.

“The Babylaena merupakan krim penyembuhan luka yang sangat sesuai untuk bayi dan kanak-kanak.

“Ia juga berjaya mendapat nombor notifikasi daripada National Pharmaceutical Regulatory Agency (NPRA) selain sijil Good Manufacturing Practice (GMP) daripada Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya.

Pengiktirafan nano tersebut membolehkan produk The Babylaena menggunakan logo NANOVerified dengan nombor siri NV2022030, sekali gus memberi jaminan bahawa produk itu berkualiti tinggi dan berkesan kepada pengguna.

Pengiktirafan itu juga membuktikan UTHM komited dalam menghasilkan produk yang berkualiti tinggi di makmal, di samping dapat menggalakkan lagi penghasilan ‘nano-technopreneurs’ dalam kalangan para penyelidik universiti.

 

Empat penyelidik UTHM yang menghasilkan produk ‘The Babylaena.’