Oleh Mohamad Qamarul Abidin Mohd Zawawi dan Ts. Gs. Dr. Kamarul Rahim Kamarudin

PAGOH – Tiga orang penyelidik daripada Jabatan Teknologi dan Sumber Semulajadi, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menjalankan kerja lapangan berkaitan penyelidikan tiram di Pengkalan Parit Tiram, Muar pada 11 November 2021 lalu.

Kerja lapangan itu melibatkan Ts. Gs. Dr. Kamarul Rahim Kamarudin sebagai penyelia utama projek sarjana muda (PSM) dan dua orang pelajar prasiswazah program Sarjana Muda (Kepelbagaian Biologi dan Pemuliharaan) dengan kepujian iaitu Mohamad Qamarul Abidin Mohd Zawawi dan Nurul Najihah Mohd Ghazali.

Menurut Dr. Kamarul, kerja lapangan yang berlangsung kira-kira empat jam melibatkan lokasi  warung terkenal Tiram Muo Oyster Asam Pedas Pak Ndak yang merupakan salah satu destinasi pelancongan utama di daerah Muar.

“Kedudukan warung tersebut yang berhadapan Sungai Muar serta nama Parit Tiram itu sendiri yang menggambarkan hidupan laut tiram meningkatkan lagi daya tarikannya sehingga mendapat perhatian masyarakat luar negara untuk menjamu selera,” katanya.

Selain tiram dan ekosistem marin yang menjadi antara fokus kerja lapangan tersebut, Pengkalan Parit Tiram juga menempatkan pusat penjualan tiram yang amat terkenal yang menjadi salah satu pusat penjanaan ekonomi setempat, dan ia juga menempatkan pusat kegiatan nelayan di Daerah Muar.

“Dengan bantuan pemilik warung dan komuniti nelayan Pengkalan Parit Tiram, pihak kami telah melakukan pengukuran saiz dua jenis tiram yang dikenali sebagai tiram putih atau nama tempatannya tiram betina dan tiram kapak (tiram jantan) yang terdapat di muara Sungai Muar serta turut menemuduga beberapa penyelam tempatan yang terlatih bagi merekodkan maklumat,” katanya.

Walaupun terdapat beberapa kajian sebelum ini mengenai tiram muara Sungai Muar, penglibatan Jabatan Teknologi dan Sumber Semulajadi, FAST kali ini dilihat membuka peluang kerjasama baharu dengan komuniti nelayan di Pengkalan Parit Tiram melalui gabungan kajian taksonomi secara konvensional, genetik dan juga pengetahuan tradisional atau warisan semula jadi.

Kemua objektif kerja lapangan tersebut berjaya dicapai melalui aktiviti merekodkan bacaan pengukuran sampel-sampel tiram yang diperolehi dan kejayaan melaksanakan sesi temuduga dengan sebilangan penyelam tempatan bagi tujuan merekodkan maklumat-maklumat penting.

“Antara maklumat yang berjaya direkodkan termasuklah isu-isu pemuliharaan tiram dan juga langkah-langkah pemuliharaan yang kekal diamalkan berdasarkan pesanan-pesanan turun-temurun dari generasi awal penyelam sehinggalah kepada generasi terkini.

“Ternyata pengetahuan tradisional tersebut telah membantu mengekalkan pemuliharaan tiram di muara Sungai Muar yang terus-menerus menjadi sumber rezeki penyelam-penyelam dan pengusaha makanan terbabit,” tambah Dr. Kamarul.

Pencapaian hasil pembelajaran kursus tersebut juga secara langsung membantu proses dokumentasi kepelbagaian biologi dan pemuliharaan tiram di Muar.

Secara keseluruhannya, kerja lapangan ini berjaya mencapai objektif hasil pembelajaran kursus secara khusus dan hasil pembelajaran program secara am.

“Kerja lapangan seumpama ini diharap dapat diteruskan pada masa hadapan agar segala hasil pembelajaran kursus dan program dapat dicapai sekali gus mencapai visi, misi dan objektif universiti antaranya UTHM Prihatin, Muar Perkasa 2030 dan juga Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025,” katanya.

 

*Sesi temuduga dengan beberapa penyelam tempatan di Pengkalan Parit Tiram khususnya berkaitan pengetahuan tradisional langkah-langkah pemuliharaan tiram.