Oleh Ts. ChM. Dr. Zalilah Murni Yunus

PAGOH – Bagi memperkasakan lagi bidang akademik dan penyelidikan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama tiga institusi iaitu Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), University of Lahore, Pakistan dan UWG Marketing & Distributors Sdn Bhd. secara maya pada 28 Oktober 2021 lalu.

Ketiga-tiga jalinan kerjasama yang melibatkan Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) itu merangkumi aktiviti seperti insiatif menyokong program Work-based Learning (WBL) bagi program akademik mod industri FAST, pembangunan program ‘‘dual-degree’’ bersama universiti luar negara serta penyelidikan potensi herba untuk pembangunan produk kesihatan.

Pembangunan kepakaran kakitangan serta pelajar pula diperkukuhkan melalui penyelidikan dan aktiviti pertukaran kakitangan antara pihak berkolaborasi dan penyeliaan bersama pelajar program Sarjana Muda Sains Kimia Industri dengan Kepujian, iaitu program akademik mod industri (WBL-1i).

MoU tersebut diwakili oleh Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razally, Naib Canselor UTHM; Dato’ Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani, Ketua Pengarah MARDI; Profesor Uwais Raoof, Pengerusi Board of Governor, University of Lahore dan Ahmad Fathi Muhammad Hanafi, Pengarah UWG Distributors and Marketing, disaksikan oleh Pendaftar UTHM, Abdul Halim Abdul Rahman dan Dekan FAST, Profesor Dr. Hashim Saim.

 

 

Datuk Wahid dalam ucapannya berharap semua pihak yang berkolaborasi mengambil bahagian secara aktif dalam program-program yang telah dirancang.

“Kemajuan teknologi yang dihasilkan daripada kerjasama ini diharapkan dapat meyakinkan ekosistem usahawan tekno dalam kalangan pelajar dan kakitangan akademik di universiti serta meningkatkan permintaan produk di peringkat industri.

Majlis ini berlangsung sempena persidangan antarabangsa 7th International Conference of Application on Science and Mathematics (SCIEMATHIC2021) anjuran FAST.

Persidangan yang bertemakan “The Quest for Sustainable Science and Mathematics Research for Future Technologies” pada kali ini turut melibatkan penyertaan pengucaptama dan penceramah jemputan dari Malaysia, Jepun dan United Kingdom.

Majlis perasmian dan penutupan persidangan telah disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM, Dato’ Sri Ibrahim Ahmad.

Beliau dalam ucapannya mengupas intipati aliran STREAM yang bermaksud sains, teknologi, agama, seni dan matematik sebagai jalan ke hadapan dalam memperkasakan hala tuju konsep Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) dalam sistem kurikulum pendidikan.

Sementara itu, Dekan FAST dalam ucapannya turut melahirkan rasa syukur atas kejayaan persidangan kali ini yang berjalan lancar walaupun proses pelaksanaan dijalankan sepenuhnya secara dalam talian.

“Persidangan SCIEMATHIC kali ini memperlihatkan penganjuran persidangan juga berperanan dalam mengetengahkan inisiatif UTHM menjalinkan kerjasama dengan pusat penyelidikan, universiti luar negara dan industri meskipun berlangsung secara dalam talian.

‘’Saya berharap persidangan SCIEMATHIC akan datang juga mampu mencipta manfaat kepada komuniti dan universiti selain sebagai platfom penyertaan kertas kerja penyelidikan dari dalam dan luar negara“, tambah beliau.