Sekumpulan ahli akademik Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah merencana pelbagai aktiviti secara berkala bagi membantu guru-guru sekolah sekitar daerah Muar menguasai kemahiran pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) secara dalam talian dengan berstruktur dan terancang.

Khidmat komuniti ini dilaksanakan melalui program yang dinamakan ‘Edu SkillUP’ dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Muar.

Program ini bagi menyahut hasrat UTHM yang inginkan warganya terus memberi khidmat kepada masyarakat dan komuniti setempat seperti yang dinyatakan dalam inisiatif UTHM Prihatin.

Dari kajian yang dijalankan, kira-kira 500 guru sekitar Muar menunjukkan minat untuk menyertai program ini.

Pelbagai aktiviti seperti kaedah PdP menggunakan aplikasi Padlet, PowerPoint, Quizziz, Google Form, Kahoot, penyediaan video dan seumpamanya diberikan kepada guru-guru tanpa sebarang bayaran.

Majlis Perasmian program EduSkillup telah diadakan pada 16 Oktober lalu secara dalam talian dan disempurnakan oleh Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (Perancangan), Mohd Sulaiman Ahmad menjalankan tugas Pegawai Pendidikan Daerah, PPD Muar.

Hadir sama ke majlis perasmian itu, Dekan FAST, Profesor Dr. Hashim Saim.

Dr. Maria Elena Nor selaku penyelaras program Edu SkillUP berkata banyak pembaharuan perlu dibuat agar PdP terus kekal relevan, di samping memastikan tiada keciciran pelajar sepanjang proses itu.

“Oleh itu, kemahiran-kemahiran digital yang terkini perlu dikuasai oleh para pendidik dengan mendapatkan pendedahan dan latihan yang bersesuaian.

“Guru-guru perlu menyesuaikan diri dengan keadaan semasa bagi memastikan proses pembelajaran dapat dijalankan dengan berkesan dan lancar,” katanya.

Beliau menambah, pada ketika ini masih ramai guru-guru hanya menggunakan aplikasi asas seperti WhatsApp dan Telegram bagi pelaksanaan PdPR.

“Medium ini sememangnya berkesan bagi menyampaikan maklumat, namun ia tidak sesuai dijadikan medium utama bagi PdPR pada masa akan datang.

“Oleh itu penawaran kepada program Edu SkillUP terutamanya bagi guru-guru diharap dapat memberi kesan kepada teknik PdPR secara lebih interaktif,” tambah beliau.

Program perkongsian ilmu tersebut dijayakan oleh penceramah, Provost UTHM Kampus Cawangan Pagoh, Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Kamarulzaki Mustafa dan Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa, FAST, Dr. Hamizah Mohd Safuan yang berkongsi tentang kaedah mengaplikasikan teknologi dalam penyampaian PdPR.

Sementara itu, Profesor Madya Ts. Dr. Aida Mustapha selaku Ketua Pelatih di Akademi Intelek dan Data Analitik (AI.DA) pula memperkenalkan fungsi akademi tersebut yang menawarkan pensijilan profesional Microsoft Certified Profesional, Microsoft Technical Certification dan Microsoft Office Specialist yang boleh diambil oleh guru-guru dan pelajar-pelajar yang berminat untuk meningkatkan kemahiran mereka dan diiktiraf oleh Microsoft.

“Program ini sangat relevan untuk diambil bagi memudahcara proses pengajaran yang lebih berkesan di samping menjamin pengiktirafan secara formal terhadap kemahiran yang telah diperolehi,” jelas Dr. Aida.