BATU PAHAT – Seramai 4485 orang graduan layak menerima sijil masing-masing setelah berlangsungnya Istiadat Perisytiharan Penganugerahan Ijazah Sempena Majlis Konvokesyen Ke-21 Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang diadakan pada 21 November 2021 bertempat di Dewan Sultan Ibrahim, kampus induk.

Perisytiharan penganugerahan yang dibuat oleh Pro-Canselor, Tan Sri Dr. Ali Hamsa  itu merangkumi pelbagai peringkat pengajian iaitu Ijazah Doktor Falsafah (126), Sarjana (329), Sarjana Muda (3204) dan Diploma (826).

Istiadat yang hanya dihadiri oleh pegawai kanan universiti itu juga turut menyaksikan penyampaian Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Kejuruteraan Elektrik) kepada Tan Sri Dato’ Tan Boon Hock, Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat SENA bagi menghargai kecemerlangan dan jasa bakti beliau dalam bidang kejuruteraan elektrik.

Manakala Muhammad Ruzain Hamidon dan Violet Leng, graduan Sarjana Muda Kejuruteraan dari Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina menerima Anugerah Pelajaran DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang) serta Siti Malihah Mohd Yusof, graduan Sarjana Muda Teknologi Maklumat dari Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat pula menerima Anugerah Sultan Ibrahim.

Perisytiharan yang disiarkan secara langsung di media sosial rasmi universiti ini secara simboliknya menandakan graduan UTHM telah dianugerahkan dengan sijil akademik masing-masing.

Ali Hamsa dalam ucapannya berpesan kepada para graduan agar tidak hanya mencari pekerjaan, sebaliknya perlu juga mencipta pekerjaan.

Tambah beliau, dunia pekerjaan kini tidak hanya menuntut graduan cemerlang dari segi akademik semata-mata namun perlu dilengkapi pengetahuan dan kemampuan menguasai teknologi.

“Graduan disaran mengikis mentaliti makan gaji seterusnya meneroka secara lebih serius bidang keusahawanan sebagai kerjaya pilihan.

“Hari ini kerajaan juga menyediakan pelbagai program, inisiatif dan bantuan supaya graduan boleh menerokai peluang baharu dan menjadi seorang usahawan,” katanya.

Justeru, beliau berharap para graduan peka dengan inisiatif yang disediakan dan menjadi pencipta peluang pekerjaan kepada diri dan orang lain.

Sementara itu, Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly dalam ucapannya turut mengucapkan tahniah kepada ibu bapa dan graduan yang berjaya menamatkan pengajian di universiti ini.

Beliau berpesan kepada graduan untuk menonjolkan keunikan kepakaran, profesionalisme dan kemahiran insaniah yang tinggi sebagai nilai tambah untuk bersaing mendapatkan pekerjaan .

“Pandemik Covid-19 yang melanda dunia telah memberi impak kepada graduan khususnya peluang pekerjaan yang semakin terhad.

“Justeru, graduan perlu menonjolkan kepakaran dan keunikan tersendiri dengan menawarkan kebolehan yang pelbagai dan boleh mengadaptasi situasi semasa dengan lebih cepat bagi memastikan mereka kekal relevan pada masa hadapan,” katanya.

Dengan berlangsungnya istiadat pengisytiharan ini maka jumlah graduan UTHM sehingga tahun 2021 telah mencecah seramai 56615 orang.

 

*Muhammad Ruzain Hamidon, graduan Sarjana Muda Kejuruteraan dari Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina menerima Anugerah Pelajaran DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang).

*Siti Malihah Mohd Yusof, graduan Sarjana Muda Teknologi Maklumat dari Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat menerima Anugerah Sultan Ibrahim.