BATU PAHAT, 3 Okt 2021 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) hari ini mencatat rekod kemasukan 2484 pelajar baharu program Sarjana Muda bagi Semester 1 Sesi 2021/2022 setelah selesai urusan pendaftaran yang berlangsung secara dalam talian.

Jumlah tersebut melibatkan Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (250), Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (184), Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (336), Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (396), Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (283), Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (279), Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (440) dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan (316).

Kesemua pelajar baharu itu akan mengikuti sesi perkuliahan 2021/2022 bermula 10 Oktober ini secara hibrid mengikut keperluan dan penetapan yang dibuat oleh fakulti masing-masing.

Terdahulu, mereka perlu mengikuti Minggu Haluan Siswa yang dijadual berlangsung selama lima hari bermula 3 hingga 7 Oktober ini.

Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly berkata oleh kerana negara telah memasuki fasa endemik, pihak universiti membenarkan kemasukan pelajar baharu tersebut ke kampus untuk menjalani pembelajaran dan pengajaran (PdP) secara bersemuka.

“Ini bagi memberi peluang kepada mereka merasai kehidupan di kampus, sekali gus memastikan sistem PdP di universiti ini terus relevan,” katanya.

Tambah beliau, pihak universiti akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Sektor Pendidikan Tinggi: Pengoperasian IPT yang telah ditetapkan bagi memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar terjamin dan tiada penularan di kampus.

“UTHM turut meletakkan beberapa syarat dan keutamaan dalam membenarkan pelajarnya menjalani kuliah secara fizikal antaranya mereka perlulah melengkapkan dua dos vaksin dan melepasi tempoh keberkesanan selepas divaksin,” katanya.

Datuk Wahid turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua pelajar yang terpilih menjadi warga universiti ini dan berharap mereka dapat menggunakan peluang ini dengan sebaik mungkin untuk mencapai kejayaan di kemudian hari.