BATU PAHAT – Tan Sri Dato’ Tan Boon Hock, Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat SENA dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Kejuruteraan Elektrik) oleh Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bagi menghargai kecemerlangan dan jasa bakti beliau dalam bidang kejuruteraan elektrik.

Sebagai seorang pengasas syarikat, Tan Boon Hock, 66 mengembangkan Kumpulan SENA dengan menubuhkan beberapa anak syarikat di bawahnya yang berjaya mengaut nilai perolehan tahunan berjumlah jutaan ringgit.

Antaranya, Syarikat Sena Letrik yang mempunyai 30 tahun pengalaman sebagai kontraktor mekanikal dan elektrik, telah menjadikan Airfield Ground Lighting (AGL) atau pencahayaan tanah lapangan terbang diterima pakai penggunaannya melebihi 80 peratus di semua lapangan terbang di Malaysia.

Lebih membanggakan, penubuhan syarikat Sena Traffic Systems pula berjaya menempa sejarah sebagai syarikat tempatan Malaysia pertama yang membangunkan 100 peratus buatan tempatan pengendali sistem trafik pintar yang dikenali sebagai TrafficSensTM.

Syarikat ini berkembang pesat membina dan mengendalikan makmal penyelidikan dan pembangunan yang memberi tumpuan kepada sistem digital pintar bagi pengurusan bandar contohnya pengurusan lampu jalan serta operasi dan penyenggaraan aplikasi internet of thing (IoT).

Syarikat beliau yang telah menerajui pencapaian utama STS-SN iaitu pusat pengurusan lalu lintas MBPJ dengan ‘real-time monitoring’ dan dilengkapi dengan sistem pengawasan TrafficSensTM (CCTV) sebelum ini turut bekerjasama dengan UTHM dan beberapa universiti tempatan lain bagi menjayakan projek penyelesaian pembangunan bandar pintar.

Tan boon Hock juga turut merintis penubuhan Sena Healthcare Sdn.  Bhd. bagi menampung permintaan yang semakin meningkat untuk perkhidmatan kesihatan khususnya kepakaran dalam merancang dan membina pusat penjagaan kesihatan swasta dan pengoperasian hospital.

Berdiri sebagai Pengarah Eksekutif Kumpulan Optimax, syarikat Optimax Eye Specialist Centre Sdn. Bhd. terus berkembang pesat menjadi salah satu pengendali utama dalam industri pakar mata di Malaysia. Hasilnya, beberapa anugerah telah diterima bagi mengiktiraf kecemerlangan mereka antaranya Frost 2016 and Sullivan Awards – Malaysia Eye Care Centre of the Year (LASIK), The MRCA Crown Awards 2016 -Outstanding National Growth Award dan The Malaysia Health and Wellness Brand Awards 2017.

Walaupun sibuk menggalas pelbagai peranan, beliau yang bersifat dermawan tetap meluangkan masa melaksanakan aktiviti khidmat sosial sepertimana ungkapan yang dipegangnya “taken from the community, giving back to the society.”

Sumbangan dan pencapaiannya mendapat perhatian ramai sehingga beliau dianugerahkan gelaran ‘Dato’ Setia Diraja Kedah’ (D.S.D.K) pada Januari 2007 oleh Almarhum Sultan Kedah dan kemudiannya dianugerahkan gelaran ‘Tan Sri’ oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong pada Ogos 2020.

Ketokohan beliau menjadi satu aspirasi kepada warga UTHM khususnya dan Malaysia amnya. Sifat suka berkongsi dan dan menerapkan kepercayaan positif serta falsafah keusahawanan yang dipegangnya mampu menjadi contoh tauladan yang baik kepada generasi akan datang.