Tarikh 12 Ogos telah diiktiraf sebagai Hari Remaja Antarabangsa oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Ia dibuat dalam persidangannya yang berlangsung pada tahun 1999. Sambutan secara tahunan ini menunjukkan keseriusan badan dunia itu untuk menangani isu-isu penting yang melingkari kehidupan para remaja di seluruh dunia.

PBB mendefinisikan remaja sebagai mereka yang berumur antara 15 hingga 24 tahun. Menurut Setiausaha Agung PBB António Guterres, remaja berada di barisan hadapan dalam perjuangan untuk membina masa depan yang lebih baik untuk dunia. Justeru, usaha pembentukan peribadi unggul dalam kalangan remaja perlu diberi perhatian.

Apabila pandemik COVID-19 melanda dunia pada awal tahun 2020, norma kehidupan manusia telah banyak berubah. Golongan remaja antara yang terkesan apabila kehidupan remaja mereka yang sepatutnya banyak dihabiskan di sekolah bersama rakan-rakan sebaya sebaliknya terpaksa terperap di rumah akibat sekatan pergerakan. Remaja terpaksa melupakan pelbagai aktiviti luar seperti sukan, kesenian dan pelbagai aktiviti sosial lain kerana perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa. Masa remaja lebih banyak diluangkan di rumah.

Keperluan pembelajaran dan pengajaran dari rumah (PdPR) telah menuntut para remaja mendampingi peranti ICT seperti telefon bimbit dan komputer riba hampir setiap masa. Kebanyakan remaja kini telah memiliki telefon bimbit sendiri dan tidak lagi berkongsi dengan ibu bapa. Fenomena ini telah membolehkan para remaja memiliki “kebebasan sosial” yang tersendiri.

Selain mengikuti sesi pembelajaran, para remaja juga bebas menggunakan peranti ICT bagi pelbagai tujuan lain seperti menonton video, bermain e-sport dan juga melayari media sosial. Antara platform media sosial yang popular dalam kalangan remaja kini adalah Instagram, Snapchat, TikTok, Facebook, YouTube, WhatsApp, dan Twitter.

Media sosial memainkan peranan besar dalam kehidupan remaja masa kini. Soal selidik yang dibuat oleh American Academy of Child and Adolescent Psychiatry pada tahun 2018 menunjukkan bahawa 90 peratus remaja berusia 13-17 tahun telah menggunakan media sosial. 75 peratus remaja mempunyai sekurang-kurangnya satu profil media sosial yang aktif, dan 51 peratus remaja mengunjungi laman media sosial sekurang-kurangnya sekali dalam sehari.

Tinjauan ini menunjukkan betapa eratnya kehidupan remaja masa kini dengan media sosial. Kita tidak dapat menafikan kewujudan pelbagai kesan negatif media sosial terhadap golongan remaja. Tinjauan yang dilakukan oleh Royal Society for Public Health ke atas remaja berusia 14-24 tahun di United Kingdom mendapati pengaruh media sosial telah menyebabkan peningkatan perasaan depresi, kegelisahan, keyakinan diri yang lemah serta kesepian.

Sungguhpun begitu, kita juga tidak harus mengenepikan pengaruh baik dan kesan positif yang ada pada media sosial terhadap remaja. Secara umumnya media sosial memberi kelebihan kepada remaja dari aspek membina perhubungan persahabatan, pembelajaran, keyakinan diri dan juga kreativiti.

Media sosial sepatutnya digunakan oleh remaja untuk memperkembangkan persahabatan mereka dengan rakan-rakan baharu yang punyai minat yang sama dan memiliki aura yang positif. Dengan dikelilingi individu-individu yang baik, para remaja sedikit sebanyak akan terpengaruh dengan sifat dan nilai positif yang ada pada rakan maya yang mereka hubungi atau ikuti.

Sebagai pelajar, remaja seharusnya menggunakan media sosial sebagai platform untuk mendapatkan ilmu yang ada hubung kait serta nilai tambah kepada proses pembelajaran mereka di sekolah. Media sosial umpama ensiklopedia maya yang sangat kaya dengan maklumat. Ilmu tanpa sempadan yang terkandung di media sosial perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk menjadikan seorang remaja itu insan bermaklumat dan bijak.

Melalui penerokaan media sosial, remaja boleh melaksanakan pembelajaran kolaboratif dengan menghubungkan kandungan pembelajaran formal di sekolah dengan pelbagai input sokongan dari media sosial. Sudah pasti ini akan menghasilkan output yang menarik dan kreatif.

Dengan menyertai media sosial, remaja akan berusaha membentuk profil diri yang terbaik bagi menggambarkan keperibadian dan cara hidup mereka. Mereka akan menonjolkan sisi terbaik mereka untuk tatapan umum. Mereka akan mula memilih gambar dan perkongsian yang terbaik untuk dipaparkan. Ini secara tak langsung mendorong mereka bertindak positif dan matang.

Media sosial juga memberi peluang kepada remaja untuk berekspresi dan lebih berani menonjolkan diri secara langsung dengan khalayak maya. Luahan melalui perkongsian percakapan, muzik atau kemahiran peribadi berupaya membantu pembinaan keyakinan diri dan karakter seseorang remaja.

Usia remaja merupakan tempoh yang paling aktif bagi manusia berimaginasi. Sebab itulah kita kerap melihat para remaja gemar mengubahsuai foto, video mahupun permainan dalam talian berdasarkan imaginasi mereka. Di media sosial terdapat pelbagai aplikasi yang mampu menjadi medan untuk remaja bereksperimen dengan apa yang mereka bayangkan. Ini secara tidak langsung akan melatih mereka berfikir secara kreatif dan inovatif.

Di sebalik kekangan pergerakan yang menghalang remaja dari bersosial dengan rakan-rakan secara berhadapan, media sosial memberi ruang yang luas untuk para remaja berinteraksi dan mendapatkan kenalan baharu. Interaksi sosial ini merupakan elemen yang sangat penting kepada remaja untuk meloloskan diri dari kongkongan emosi akibat pergerakan yang terhad. Pengurusan emosi amat perlu diberi perhatian bagi mengelakkan tekanan mental yang boleh mendorong remaja melakukan perkara-perkara yang tidak sihat.

Remaja dan media sosial sememangnya tidak dapat dipisahkan lebih-lebih lagi di saat kongkongan pandemik ketika ini. Apa yang perlu adalah memastikan penggunaannya dimanfaatkan untuk tujuan pembangunan diri yang positif. Hal ini mampu direalisasikan dengan sokongan ibu bapa, guru dan anggota masyarakat. Usaha mendidik remaja adalah tanggungjawab semua demi memastikan masa depan yang lebih baik untuk dunia.

Selamat menyambut Hari Remaja Antarabangsa 2021.

 

Artikel ini juga dikongsikan secara online di saluran media berikut..

1.GPS Bestari, Sinar Harian, 10 Ogos 2021

https://gpsbestari.sinarharian.com.my/komuniti/mahu-tahu-apa-sisi-positif-penggunaan-media-sosial-dalam-kalangan-remaja-mohon-hadam-perkongsian-ini/

2. Harian Metro, 10 Ogos 2021

https://www.hmetro.com.my/rencana/2021/08/740723/mencari-titik-keseimbangan

3. Johor Kini, 11 Ogos 2021

https://www.johorkini.my/rencana-pandemik-remaja-dan-media-sosial/?utm_source=dlvr.it&utm_medium=facebook

4. Bebasnews, 11 Ogos 2021

https://bebasnews.my/?p=67045

 

Shafry Salim

Timbalan Pendaftar

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)