Negara Jepun dikenali sebagai antara negara yang tercantik dan terbersih di dunia. Untuk mengekalkan kebersihan dan kecantikan negara mereka, usaha yang dilakukan adalah dari segenap lapisan masyarakat dan dilakukan secara berterusan sejak sekian lama. Masyarakat Jepun sangat terkenal dengan tahap disiplin diri yang tinggi. Sikap ini dikatakan dipengaruhi oleh kepercayaan agama Shinto yang telah wujud di Jepun sejak dari awal kurun ke-8.

Kesedaran untuk menerapkan amalan kitar semula dalam kalangan masyarakat Jepun bermula dalam tempoh pasca perang. Pada ketika itu sampah telah dihasilkan dengan begitu banyak disebabkan oleh kepesatan pembangunan ekonomi dan juga bilangan penduduk yang semakin bertambah. Pengurusan sampah di Jepun bukan sekadar proses pengumpulannya yang teratur, tetapi juga proses untuk mengurangkan sisa sampah melalui proses kitar semula.

Pelbagai usaha dilakukan oleh pihak kerajaan Jepun dan pelbagai dasar dan undang-undang dibentuk untuk menguruskan sampah dan menjaga alam sekitar. Dasar dan undang-undang dalam pengurusan sisa sampah ini sentiasa diperhalusi dari semasa ke semasa. Pada hari ini, Jepun telah menjadi antara negara yang terbaik dalam proses pengurusan sampah dan proses kitar semula. Walaupun hakikatnya Jepun adalah sebuah negara yang besar, namun kawasan di Jepun yang sesuai dijadikan kawasan kediaman, pertanian dan menjalankan kegiatan ekonomi hanyalah sekitar 30 peratus sahaja. Ini kerana bentuk muka bumi Jepun yang bergunung-ganang dan berhutan-hutan adalah tidak sesuai untuk dijadikan kawasan kediaman dan sebagainya.

Disebabkan kawasan yang terhad, Jepun terpaksa mengambil pelbagai langkah dalam menguruskan sampah-sampah yang dihasilkan. Proses kitar semula sangat penting bagi negara Jepun, kerana mereka dapat mengurangkan penghasilan sampah. Jika sampah-sampah tidak diuruskan dengan baik, tapak pelupusan sampah akan bertambah. Disebabkan kawasan yang boleh dijadikan tempat tinggal dan menjalankan kegiatan pertanian serta kegiatan ekonomi juga hanyalah sekitar 30 peratus, maka mereka perlu menjaga kawasan yang ada dengan sebaiknya demi kelestarian negara Jepun untuk tempoh masa yang panjang. Melalui aktiviti kitar semula, penghasilan sampah dapat dikurangkan. Bahkan pengurusan yang baik terhadap sampah yang dihasilkan menjadikan negara Jepun bersih sehinggakan ikan-ikan pun mampu hidup dengan sihat di dalam longkang-longkang di Jepun.

Keberkesanan proses kitar semula di Jepun antaranya disebabkan oleh sikap orang Jepun itu sendiri. Di Jepun, budaya mereka lebih memihak kepada komuniti berbanding individu. Oleh itu, sikap mereka lebih cenderung kepada menjaga keharmonian dalam kehidupan bermasyarakat dan saling membantu agar mereka dapat hidup dalam suasana yang lebih baik. Masyarakat Jepun juga mempunyai sikap kebertanggungjawaban yang tinggi dalam kehidupan bermasyarakat. Oleh itu, bagi orang Jepun adalah penting menjaga persekitaran kerana ianya adalah hak bersama dalam masyarakat. Mereka tidak membuang sampah merata-merata demi menjaga persekitaran yang merupakan hak bersama. Walaupun Jepun merupakan sebuah negara yang bersih, uniknya sangat sedikit tong-tong sampah yang disediakan di tempat awam. Orang Jepun biasanya akan membawa beg plastik bersama-sama mereka apabila mereka keluar rumah. Beg plastik ini akan digunakan untuk menyimpan sampah yang mereka hasilkan ketika mereka di luar. Sampah-sampah ini akan dibawa pulang dan dibuang ketika mereka sampai di rumah atau di tempat kerja.

Proses kitar semula dalam kalangan masyarakat Jepun, bukan sahaja dilakukan oleh badan yang berwajib, bahkan ianya dilakukan oleh segenap lapisan masyarakat. Pengasingan sampah bermula dari setiap rumah-rumah di Jepun lagi. Setiap isi rumah bertanggungjawab dalam pengasingan sampah. Sampah-sampah di Jepun perlu diasingkan dengan sempurna mengikut kategori sampah seperti botol, tin, kertas, plastik, kaca, bahan mudah terbakar, bahan tidak mudah terbakar dan sebagainya. Sampah yang tidak diasingkan dengan sempurna tidak akan diuruskan oleh pihak yang berwajib. Jadual kutipan sampah juga akan mengikut kategori tertentu. Sampah dari setiap rumah perlu dibuang mengikut kategori pada hari yang ditetapkan. Sampah yang diasingkan juga perlu dikelaskan dan dimasukkan ke dalam beg plastik sampah mengikut warna-warna yang tertentu. Sampah yang bukan dalam kategori yang tidak sepatutnya, tidak akan diambil dan diuruskan. Selain itu, sampah-sampah yang besar seperti perabot atau barang elektrik yang rosak tidak boleh dibuang dengan sewenang-wenangnya. Untuk membuang atau melupuskan sampah-sampah yang besar seperti ini, mereka perlu membayar sejumlah wang untuk proses pelupusannya. Demi menjaga kelestarian alam sekitar di kawasan kejiranan mereka yang dianggap sebagai tanggungjawab bersama, orang Jepun akan menuruti setiap peraturan yang dikeluarkan dalam hal pengurusan sampah mereka.

Sukan Olimpik Tokyo 2020

Walaupun Sukan Olimpik Tokyo 2020 telah pun berakhir, namun kehangatannya masih lagi terasa. Setiap negara dan para atlet berusaha bersungguh-sungguh untuk memenangi 5000 medal yang dipertandingkan. Tahukah anda bahawa medal-medal ini telah dihasilkan melalui proses kitar semula. Medal Sukan Olimpik Tokyo 2020 telah dihasilkan dengan menggunakan telefon bimbit dan barangan elektronik terpakai yang telah dikitar semula hasil sumbangan masyarakat Jepun. Sebagai tuan rumah Sukan Olimpik 2020, Jepun telah mengambil masa selama dua tahun mengumpulkan sebanyak enam juta telefon bimbit terpakai dan 158 juta barangan elektronik terpakai untuk menghasilkan medal-medal yang dipertandingkan.

Menurut laporan media tempatan, keseluruhannya sebanyak 80,000 tan bahan kitar semula tersebut telah digunakan untuk menghasilkan 5,000 medal yang dipertandingkan. Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menerusi laman Facebooknya telah memaklumkan bahawa kempen kitar semula yang melibatkan Projek Pingat Tokyo 2020 ini telah menghasilkan sebanyak 32 kilogram emas, 3,492.7 kilogram perak dan 2,199 kilogram gangsa. Pingat Sukan Olimpik merupakan salah satu daripada perkara yang menjadi tumpuan setiap negara yang menyertainya dan ini antara keunikan Sukan Olimpik Tokyo 2020 hasil daripada sentuhan negara tuan rumah.

Selain daripada keunikan pingat yang dihasilkan, Sukan Olimpik Tokyo 2020 turut memberikan keunikan tersendiri dengan menghasilkan katil para atlet yang diperbuat daripada kadbod yang dikitar semula. Tujuannya bukan sahaja untuk mengurangkan penggunaan bahan, tetapi juga dengan tujuan kelestarian agar katil-katil ini mudah untuk dikitar semula selepas daripada acara ini berlangsung. Sebanyak 18,000 katil yang disediakan untuk para atlet dalam temasya ini. Walaupun katil para atlet Sukan Olimpik Tokyo ini dihasilkan daripada kadbod, namun ianya mampu menampung keberatan sehingga 200 kilogram. Manakala tilam untuk para atlet pula adalah dalam bentuk politilina, yang mana ianya boleh digunakan semula untuk produk-produk plastik selepas berakhirnya temasya Sukan Olimpik ini. Bukan itu sahaja, bahkan obor dan pentas Sukan Olimpik Tokyo turut dihasilkan daripada bahan kitar semula. Obor Sukan Olimpik Tokyo 2020 telah dihasilkan daripada sisa aluminium, manakala pentas olimpik pula dihasilkan daripada sisa barangan rumah dan plastik marin. Sukan Olimpik Tokyo 2020 telah mengambil langkah mesra alam agar kelestarian alam sekitar dapat dipelihara.

Kemajuan Jepun dalam pengurusan sampah dan proses kitar semula jauh di hadapan meninggalkan negara kita. Kita seharusnya mencontohi kelebihan negara Jepun dalam perkara seperti ini demi kelestarian alam di bumi Malaysia yang kita cintai. Mahukah kita mewarisi anak cucu kita nanti dengan sampah yang tidak mampu ditampung lagi serta sungai-sungai dan laut yang sudah tercemar? Jika kita tidak mahu, langkah-langkah yang sepatutnya kita ambil perlulah bermula dari sekarang. Bukan sekadar bergantung kepada dasar kerajaan dalam perkara ini, namun kesedaran itu harus datang dari dalam diri setiap daripada kita sebagai warganegara Malaysia. Malaysia sebuah negara yang cantik dan kaya dengan keindahan alam semulajadi. Marilah sama-sama kita menghargainya dan mewarisi keindahannya kepada generasi kita pada masa akan datang.

  Artikel ini juga diterbitkan di..

1. Harian Metro https://www.msn.com/en-my/news/berita/bersih-tanpa-tong-sampah/ar-AANEs75

2. Tinta Minda, Bernama https://www.bernama.com/bm/tintaminda/news.php?id=1993728 

3. 1Media.My https://www.1media.my/2022/05/cara-masyarakat-jepun-urus-sampah-dan.html  

Siti Hajar Bidin

Pusat Pengajian Bahasa

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)