Sejak akhir-akhir ini, sering kedengaran pelbagai isu dibangkitkan oleh masyarakat berkaitan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) selepas sekolah ditutup gara-gara penularan pandemik Covid-19. Kecaman yang dilemparkan masyarakat hari ini terhadap warga pendidik seperti “guru hanya duduk di rumah goyang kaki, makan gaji buta” adalah tidak wajar sama sekali. Hakikatnya, pelbagai kaedah cuba dilakukan oleh warga pendidik bagi menyampaikan ilmu secara berkesan melalui kaedah norma baharu ini.

Adakalanya pelajar dan ibu bapa menghadapi kesukaran untuk mengakses bahan pembelajaran dalam talian manakala guru pula perlu bekerja keras menyediakan diri dengan kaedah pengajaran baharu ini. Pada ketika ini, kita seharusnya sama-sama memahami situasi ketiga-tiga pihak iaitu guru, pelajar dan ibu bapa.  Namun begitu sebagai pelajar, ada satu perkara yang kita tidak boleh mengambil mudah, perlu juga diberi perhatian iaitu adab menuntut ilmu sepanjang tempoh pembelajaran dalam talian.

Di sini, penulis ingin kongsikan beberapa tip ringkas bagi menambat hati guru sepanjang tempoh PdPR yang boleh dipraktikkan oleh para pelajar:

Tepati masa

Sekiranya guru anda meminta untuk menghadiri kelas atas talian jam 10 pagi, maka jam 10 pagi anda sudah pun berada di hadapan skrin. Tahukah anda, antara orang yang berjaya biasanya mempunyai sikap menghormati masa. Jika kita melihat negara maju seperti Jerman, rakyatnya amat menepati masa. Bukan sahaja rakyatnya, malah perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas dan kereta api di negara itu juga sentiasa mengikut jadual dan masa yang ditetapkan,

Maklumkan situasi anda kepada guru

Sekiranya pelajar gagal menghadirkan diri dalam kelas secara dalam talian mahupun gagal menghantar tugasan dalam tempoh yang ditetapkan, pelajar seharusnya mencari inisiatif untuk memaklumkan situasi semasa kepada guru. Walau apapun masalah yang anda hadapi sepanjang proses pembelajaran dalam talian, sila maklumkan kepada guru anda. Kebiasaannya para guru boleh bertolak ansur dan memberikan cadangan alternatif sebagai langkah penyelesaian. Elakkan menipu walaupun alasan tersebut logik kerana menipu tidak akan menjadikan situasi anda lebih baik.

Respon kepada pertanyaan

Sebagaimana anda inginkan guru anda untuk menjawab pertanyaan anda serta membantu menyelesaikan masalah pembelajaran anda, begitu juga dengan guru. Guru-guru sangat menghargai sekiranya pelajar menjawab soalan serta memberi respon sewaktu kelas berjalan. Terdapat segelintir pelajar yang gemar mendengar sahaja pertanyaan guru sewaktu kelas dalam talian dan langsung tidak memberi respon. Contoh situasi lain adalah pelajar hanya membaca mesej peribadi daripada guru yang ingin tahu akan keberadaan pelajar tanpa membalas mesej tersebut. Seberapa pantas anda menjawab pertanyaan daripada guru itu tidak penting. Yang penting adalah anda memberi respon. Tidak perlu masa yang lama, hanya luangkan masa setengah minit sahaja pun sudah memadai untuk memberi maklum balas pertanyaan guru.

Mohon maaf atas kecuaian diri sendiri

Pelajar juga dinasihatkan agar memohon maaf kepada guru sekiranya gagal menghadiri kelas dalam talian atau menghantar tugasan pada masanya disebabkan atas kecuaian diri sendiri. Contohnya atas alasan pelajar terlupa dan tertidur. Dua contoh ini merupakan perkara lazim yang sering berlaku sepanjang tempoh pembelajaran dalam talian terutamanya apabila kurangnya pantauan daripada ibu bapa memandangkan kebanyakan mereka bekerja. Membuang ego diri sendiri dan meminta maaf kepada guru bukanlah suatu hal yang merugikan. Niatkan semoga dengan ungkapan maaf tersebut, guru tersebut redha akan segala yang diajarkan kepada anda dan akhirnya memperoleh keberkatan ilmu.

Ucapkan terima kasih

Setiap kali anda menghulurkan bantuan kepada seseorang, adakah individu tersebut mengucapkan terima kasih kepada anda? Pasti anda senang hati mendengar ucapan sebegitu. Begitu juga dengan guru. Tidak perlu hadiah mahal, cukuplah dapat merasa dirinya dihargai  dengan ucapan ‘terima kasih’ setiap kali usai kelas. Lagipun ucapan ini juga merupakan salah satu cara untuk menzahirkan rasa hormat kepada insan yang telah berkongsi ilmu kepada anda.

Kesemua tip yang dikongsikan ini seakan mudah untuk diimplementasikan, tetapi sering sahaja generasi hari ini terlepas pandang. Tidak dinafikan memiliki ilmu yang tinggi dan mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan itu memberi nilai tambah pada mata masyarakat. Namun, hal tersebut seakan hilang ertinya jika adab dan budi pekerti pelajar kepada guru dilupakan hanya kerana pengajaran dan pembelajaran dilakukan secara dalam talian. Tuntasnya, adab berguru seharusnya tidak lapuk dek zaman, bahkan perlulah seiring dengan era teknologi yang kian berkembang maju.

Farhana Abd Hamid

Pusat Pengajian Bahasa

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)