Rumahku kampusku, bilikku kelasku

Foto: Sinar Harian/PdPR

Manusia dianugerahkan Allah dengan panca indera beserta akal dan hati untuk manusia mencari, memperolehi dan beramal seterusnya menghayati ilmu  dalam kehidupan seharian. Ilmu itu diumpamakan seperti cahaya dalam setiap  kehidupan manusia, bahkan ilmu yang berguna dan bermanfaat kepada orang lain menjadi peneman manusia di akhirat kelak.

Memetik mutiara kata dari ahli hikmah..

????????? ??????? ???? ??????? ???? ????????

Maksudnya : “Carilah (tuntutlah) ilmu daripada buaian hingga ke liang lahad”.

Di musim pandemik ini, kita semua diminta untuk sentiasa kekal berada di rumah bagi bersama membantu mengawal penularan wabak Covid-19. Banyak aktiviti yang perlu kita lakukan di rumah sahaja termasuklah pengajaran dan pembelajaran (PdPR) melibatkan pelajar sekolah mahupun universiti. Ketika ini ibu bapa, guru, pensyarah semuanya bertungkus lumus memastikan kaedah PdPR berjalan lancar. Namun, apa pula tanggungjawab kita sebagai pelajar untuk memastikan PdPR ini berjalan lancar, semangat dan menyeronokkan?

 

Tetapkan niat

Daripada Amirul Mukminin Abi Hafs, Umar bin al-Khattab RA katanya, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

  “Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut yang dia niat. Maka sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, dan siapa yang hijrahnya kerana dunia untuk dia dapatinya atau perempuan untuk dikahwininya, maka hijrahnya mengikut apa yang dia hijrah kepadanya”.

Sesuatu niat pula berasal dari hati. Seperti mana yang diucapkan oleh Pensyarah Kanan I’jaz Al-Quran, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Mohd Sukki Othman, tempat niat berada di setiap hati manusia.

Hati yang bersih menghasilkan niat yang baik. Maka, memandang aktiviti pembelajaran itu sendiri merupakan perkara yang baik dilakukan. Niatkan kerana Allah, in shaa Allah, Allah permudahkan segala urusan kita dalam menuntut ilmu. Walau susah bagaimana pun sekiranya kita telah tetapkan niat yang kita gembira dalam menuntut ilmu, in shaa Allah, Dia akan mempermudahkan urusan kita.

 

Bangun awal pagi

Bangun awal pagi, bersihkan diri dan seterusnya mulakan hari kita dengan solat. Ini adalah untuk memastikan kita benar-benar bersedia untuk menghadiri kelas secara dalam talian. Cuba bayangkan jika kita hanya bangun dari tidur lima minit sebelum kelas atau kuliah bermula, badan kita akan lemah dan tidak bersemangat untuk terus mengikuti kelas atau kuliah.

Sudah tentu pembelajaran pada waktu tersebut juga kita tidak dapat berikan sepenuh tumpuan dan masih rasa mengantuk. Masa itu pula baru kita tersedar kita perlu hantar tugasan atau ada kuiz. Sudah tentu kita tidak bersedia untuk menghadapinya. Sudahnya kita merasakan kelas pada hari tersebut seperti bebanan buat kita bukan?

 

Sediakan tempat belajar 

Walaupun ketika ini kita menyebut “rumahku kampusku, bilikku kelasku,” cubalah sebaik mungkin untuk menyediakan tempat belajar yang paling selesa. Ini juga membantu kita fokus dalam pembelajaran. Apabila kita berada di tempat yang bersih dan selesa ini sedikit sebanyak membantu kita mudah menerima ilmu yang disampaikan pensyarah. Selain itu, semangat untuk menuntut ilmu juga akan meningkat seperti mana kita berada di kelas atau dewan kuliah. Walaupun mungkin rumah kita sekarang tidak luas namun jika kita berusaha memastikan ruang tersebut kemas dan menarik dan akan berasa selesa dengan persekitaran tempat pembelajaran kita.

 

Disiplin diri

Walaupun kita sedang mengikuti pembelajaran dari rumah secara dalam talian, letakkan disiplin diri kita sama seperti kita berada di kelas sebenar. Masuklah ke kelas dengan menepati masa yang telah ditetapkan. Para pelajar mengikut jadual yang telah ditetapkan. Bahan-bahan  atau buku-buku yang perlu disediakan untuk subjek tersebut juga perlu dipersiapkan dengan lebih awal seperti mana pembelajaran di kelas sebenar. Ini untuk memudahkan pelajar mendapat panduan atau rujukan semasa pensyarah sedang mengajar.

 

Pengurusan masa

Walau dimana jua kita berada selagi kita masih bernyawa, bersyukurlah kerana kita masih dikurniakan masa. Masa yang kita ada kita perlu gunakan sebaiknya. Lebih-lebih lagi bila semuanya bergantung kepada diri kita sendiri. Rancang sebaiknya masa yang ada mengikut jadual yang pihak universiti telah tetapkan. Walaupun mungkin di musim pandemik ini kita terpaksa berbahagi masa dengan sesi pembelajaran dan masa menolong ibu, ayah dan keluarga, namun semuanya bergantung pada diri kita sendiri dalam mengurus masa. Masa itu emas..

 

Sediakan nota dan catat

Penulis percaya kebanyakan pensyarah telah menyediakan e-buku, e-modul ataupun e-nota. Sebagai pelajar, seeloknya kita cetak kesemua nota tersebut sebelum sesi kelas bermula. Ini bertujuan supaya semasa sesi penerangan daripada pensyarah berjalan, kita ada panduan dan rujukan. Lebih-lebih lagi jika ilmu tersebut baharu untuk kita. Mendengar dan mencatat akan memudahkan kita membuat ulangkaji. Untuk lebih menyeronokkan luangkan masa untuk buat nota yang menarik minat kita untuk membacanya. Gunakan sekurang-kurangnya lebih daripada satu warna pen untuk membuat nota dan catat menggunakan bentuk yang kita gemari.

Antara teknik mencatat nota yang dikongsi oleh GPS Bestari Komuniti Pendidikan dalam artikelnya;

“Mula membaca buku teks dan buku rujukan. Sambil membaca, kata kunci atau kata penting diwarnakan.Pada masa yang sama, fahamkan betul-betul maklumat yang dibaca. Bacalah mengikut bab atau topik. Tidak perlu baca banyak perkara. Yang penting kamu faham, kemudian baru buat nota.” – GPS Bestari.

Pengalaman penulis sendiri juga ketika menempuh alam kampus dan persekolahan, setiap kali habis mengulangkaji pelajaran, penulis akan pindahkan semua yang telah diulangkaji dalam bentuk nota yang disukai. Penulis akan tulis di atas ‘sticky notes’ yang berwarna warni lalu menampal di sekitar tempat yang mudah dilihat untuk mudah mengingati semua yang telah dicatat.

 

Fokus

Seeloknya kita persiapkanlah diri dahulu untuk fokus kepada sesi pembelajaran secara dalam talian. Jika tidak jelas atau kurang memahami sesuatu topik yang telah dipelajari, jangan simpan maka terus bertanya. Sesuatu yang kita telah faham akan membantu kita terus fokus kepada topik seterusnya berbeza jika kita tidak memahami dan malu untuk bertanya pensyarah atau rakan-rakan, kita akan rasa kurang berminat untuk topik yang akan datang. Ianya juga sudah tentu mengganggu perhatian kita untuk kekal fokus.

Selain itu, sebaiknya jika kita punyai kemampuan, kita cuba sediakan alat bantu pembelajaran kita sendiri. Cukup dengan keperluan asas seperti ‘earphone’ untuk kita mendengar dengan fokus apa yang guru sedang jelaskan di dalam video yang disediakan atau kelas bersemuka dalam talian. Tanpa ‘earphone’ mungkin pembelajaran kita akan sedikit terganggu dengan aktiviti yang sedang dilakukan oleh ahli keluarga kita di rumah.

Cuba beritahu pada ahli keluarga jadual waktu kelas kita selain kita juga cuba ambil tahu jadual waktu PdPR adik-beradik kita di rumah. Ini bertujuan supaya kita dapat memberi ruang waktu dan berkompromi dengan semua alatan PdPR yang mungkin perlu dikongsi dengan adik-beradik yang lain.

Beri ruang internet yang sedang digunakan bersama bagi tujuan PdPR sebagai contoh, jika kita tahu adik kita sedang menjalani ujian pada waktu tersebut, beri ruang dan dahulukan keperluan mereka. Elakkan melayari internet bagi tujuan selain PdPR pada waktu tersebut.

 

Jaga adab dan raikan pembelajaran dengan seronok

Walaupun kita menuntut ilmu secara dalam talian kita tak pernah berjumpa dengan pensyarah dan rakan-rakan kita setiap hari secara bersemuka, kita tetap perlu menjaga adab kita dengan ahli kelas kita. Ini penting untuk kita mudah bekerjasama dan mendapat keberkatan dalam menuntut ilmu pengetahuan. Kenali siapa pensyarah dan rakan-rakan kita. Di samping sedang menuntut ilmu pengetahuan, kita juga sedang menjalinkan tali persaudaraan antara satu sama lain.

Selain itu, kita percaya ramai pensyarah yang sedang bertungkus lumus dalam menjadikan sesi pembelajaran lebih menarik dengan menyediakan pelbagai aktiviti dalam kelas online. Kita dapat lihat setiap hari terlalu ramai pensyarah atau penceramah jemputan yang dipilih untuk membuat kelas dan kursus dalam talian secara live di media sosial untuk memperkenalkan pelbagai aplikasi yang boleh digunakan semasa sesi PdPR berlangsung. Ini bertujuan untuk menjadikan kelas berjalan dengan lebih menarik dan menyeronokkan. Jadi sebagai pelajar, kita sama-sama meraikan hasil usaha tersebut dengan menyertai semua aktiviti semasa PdPR.

Mungkin suatu hari nanti apabila pandemik ini berakhir, semua pengalaman PdPR ini akan menjadi kenangan paling manis dan seronok dalam hidup kita. Tahniah kerana kita semua masih berjaya menuntut ilmu walaupun sedang diuji dengan kehadiran Covid-19 yang membataskan banyak perkara dan aktiviti harian kita.

 

 

Nurulisyazila Othaman

Guru Bahasa

Pusat Pengajian Bahasa, UTHM

Categories
E-WacanaRencana
Subscribe