Bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang masih mencari arah menentukan hala tuju mereka termasuk merancang untuk menyambung pengajian, Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) antara pilihan yang sesuai untuk anda.

Ini kerana pada era ini, TVET bukanlah pengajian kelas kedua lagi untuk mereka yang tercicir atau kurang cemerlang, sebaliknya kerjaya berasaskan kemahiran yang ditawarkan menerusi pengajian ini mempunyai potensi besar untuk kerjaya masa depan.

Menurut sumber Majlis TVET Negara, hampir 1295 institusi TVET ada menawarkan latihan kemahiran pengajian TVET di negara ini.

Daripada jumlah tersebut, terdapat 640 institusi TVET awam dan juga 22 institusi TVET peringkat negeri dibawah 11 kementerian seperti Kementerian Pendidikan Malaysia (87), Kementerian Sumber Manusia (33), Kementerian Pengajian Tinggi (144), Kementerian Kerja Raya (11), Kementerian Pembangunan Luar Bandar (274), Kementerian Belia dan Sukan (22), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (15),  Kementerian Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat (3), Kementerian Pertahanan (1), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (48), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (2). Manakala institusi TVET swasta pula mencecah sehingga 633 institusi.

Institusi TVET ini menawarkan pengajian dari peringkat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) sehinggalah ke peringkat doktor falsafah di Malaysian Technical University Network (MTUN) yang melibatkan empat universiti iaitu Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Sementara itu, untuk pelajar lepasan PMR, mereka boleh menjalani latihan kemahiran di Kolej Vokasional pada peringkat SVM selama dua tahun dan seterusnya melanjutkan pelajaran peringkat Diploma Vokasional Malaysia (DVM) selama dua tahun sebelum melanjutkan pengajian di universiti bagi peringkat ijazah sarjana muda.

Bagi pelajar lepasan SPM, mereka boleh terus menyambung ke peringkat diploma jika memenuhi syarat kemasukan yang ditetapkan dan bagi pelajar yang tidak dapat memenuhi syarat kemasukan di peringkat diploma, mereka boleh mengikuti pengajian di peringkat Sijil Kemahiran Malaysia ataupun Sijil di institusi latihan kemahiran awam atau swasta.

Pengajian TVET adalah tunjang pembangunan sumber manusia dalam memastikan tenaga kerja baharu yang berkemahiran tinggi dapat dihasilkan terutamanya dalam bidang-bidang baharu yang penting untuk pembangunan negara.

Penulis sendiri juga merupakan pelajar lepasan dari institusi TVET iaitu Politeknik Malaysia dan menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Teknik dan Vokasional di UTHM. Bila berada di landasan ini, penulis melihat banyak pasaran kerja dan peluang baharu yang boleh diceburi untuk pembangunan kerjaya.

Untuk adik-adik lepasan SPM, jadikan TVET laluan kerjaya masa depan anda..

 

 

Ts. Dr. Tamil Selvan Subramaniam

Pensyarah Kanan

Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV)

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)