Oleh Syed Shikh Syed A. Kadir

BATU PAHAT – Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama Pusat Teknousahawan Pelajar (PTP) mengorak langkah merealisasikan hasrat Dasar Keusahawanan Negara 2030 dalam mewujudkan ekosistem keusahawanan yang holistik dengan menganjurkan program ‘Jom Belajar Sambal Berniaga 2021: E-Technopreneur’ pada 24 hingga 26 Jun 2021 lalu.

Program di bawah kursus Keusahawanan yang diadakan secara dalam talian melalui aplikasi ZOOM dan dibantu selia oleh pihak Global UTHM ini dianjurkan bertujuan memberikan pendedahan dan maklumat kepada pelajar-pelajar berkaitan ilmu asas keusahawanan.

Antara yang dikongsikan, teknik penyediaan pelan perniagaan, “Digital Business” melalui platform e-dagang Shopee dan mengenali agensi kerajaan seperti Small Medium Enterprise (SME Corp), Tekun Nasional dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) yang terlibat dalam membantu peniaga-peniaga ke arah menjadi seorang usahawan yang berjaya.

Penganjuran program ini juga untuk memupuk minat dan meningkatkan semangat keusahawanan dalam diri setiap pelajar apabila dengan rasminya mendaftar perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) melalui bimbingan secara langsung bersama pegawai agensi tersebut.

Menurut penyelaras dan pensyarah Keusahawanan, Syed Shikh Syed A. Kadir program yang bertemakan “ Jom jadi usahawan” ini sangat membantu dalam memupuk semangat keusahawanan dalam kalangan pelajar.   .

“Program ini dianjurkan oleh pelajar pelajar seksyen 1 dan 2 dalam kursus BBP 40302 dan BPK 20802 dengan bimbingan dua orang pensyarah dan penyelaras keusahawanan fakulti.

“Pihak kami menjemput agensi-agensi kerajaan yang terlibat secara langsung seperti SSM, SME Corp, MDEC dan Tekun Nasional serta seorang pelajar Alumni UTHM untuk berkongsi pengalaman beliau tentang bagaimana menjalankan perniagaan sendiri ketika masih belajar sehingga berjaya menamatkan pengajian pada waktunya,” katanya.

Sementara itu Dekan FPTV, Profesor Madya Ts Dr. Abdul Rasid Abdul Razzaq dalam ucapan perasmian berkata penganjuran program sebegini menjadi satu platform yang sangat baik dalam melengkapkan diri pelajar untuk mengenali dan memahami ciri-ciri seorang usahawan.

Menurut beliau kemahiran yang dipelajari melalui pelbagai bidang dalam pembelajaran  dan digabungkan dengan nilai-nilai keusahawanan yang merentasi semua program sudah tentu dapat melahirkan graduan kelak yang mampu merealisasikan konsep job creator.

“Pihak fakulti berharap selepas berakhirnya program ini, tindakan seterusnya ialah dengan mengadakan beberapa siri bimbingan daripada pakar-pakar bidang digital business kepada kumpulan pelajar yang terpilih.

“Penganjuran program seperti ‘inkubator usahawan’ perlu dilaksanakan khusus untuk pelajar ISMPV dalam usaha menjadikan bidang perniagaan sebagai kerjaya kedua mereka selepas tamat pengajian,” tambah beliau.

Usaha ini selari dengan hasrat UTHM yang ingin melahirkan ‘profesional’ dalam apa jua bidang termasuk keusahawanan.

Program ‘Jom belajar sambil berniaga’ anjuran pelajar keusahawanan juga akan dijadikan program tahunan dengan mewujudkan satu anjakan paradigma bagi mencapai aspirasi fakulti, universiti dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) khasnya dan agenda negara amnya.