BATU PAHAT- Penularan pandemik Covid-19 tidak menghalang Pusat Pendidikan Teknikal dan Vokasional Termaju (ACTiVE), Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) untuk melaksanakan program Academic Writing: Coaching Project (UPI-UTHM) secara maya bagi mempergiatkan lagi aktiviti koloborasi perjanjian kerjasama yang telah dimeterai sebelum ini bersama Universiti Pendidikan Indonesia (UPI).

Menurut Ts. Dr. Alias Masek, Timbalan Dekan (Penyelidikan, Pembangunan dan Penerbitan) FPTV, program yang bermula pada 25 Mei lalu sehingga akhir Julai 2021

ini bertujuan membimbing 60 pelajar pasca-siswazah UTHM-UPI dalam menghasilkan 60 artikel akademik untuk diterbitkan ke penerbitan jurnal yang telah dikenal pasti oleh kedua-dua negara.

Tambah beliau, intipati program ini termasuk konsep asas penulisan akademik, perkongsian tips penulisan artikel serta bimbingan kepada pelajar secara individu dalam membangunkan kemenjadian mereka sebagai penulis persuasif dan berhikmah.

Program bimbingan ilmiah ini menggabungkan sekumpulan pembimbing daripada bidang sains sosial termasuk tiga penyelidik utama ACTiVE UTHM iaitu Ts. Dr. Alias Masek, Ts. Dr. Aini Nazura Paimin, Profesor Madya. Dr. Nor Lisa Sulaiman serta tiga staf pengajar UPI iaitu Ahmad Bukhori Muslim, Dr. Nia Nafisah dan Dr. Eng. Asep Bayu Dani Nandiyanto.

“Platform ini juga merupakan perkongsian ilmu dan pengalaman antara para akademik Malaysia-Indonesia dalam melestarikan kerjasama strategik UTHM-UPI di masa hadapan.

“Inisiatif jaringan koloborasi MOU antarabangsa sebegini diharapkan dapat diteruskan bagi memastikan pertukaran ilmu kepakaran Malaysia-Indonesia memberi manfaat dalam mempertingkatkan kualiti pelajar serta para ahli akademik UTHM-UPI khususnya dalam penerbitan jurnal akademik,” katanya.

 

Oleh:

Alias Masek, Aini Nazura Paimin dan Nor Lisa Sulaiman

Penyelidik Utama ACTiVE