SPEED anjur forum, perkasakan pendidikan TVET ke peringkat antarabangsa

Oleh Dr. Nurul Hidayah Liew Abdullah BATU PAHAT – Centre of Research Sustainable Professional Education for Excellent Development (CoR-SPEED), Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV) dengan kerjasama Institut Penyelidikan...
Ketua Pusat CoR SPEED, Profesor Madya Ts. Dr. Mimi Mohaffyza Mohamad mengendalikan forum sebagai moderator

Oleh Dr. Nurul Hidayah Liew Abdullah

BATU PAHAT – Centre of Research Sustainable Professional Education for Excellent Development (CoR-SPEED), Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV) dengan kerjasama Institut Penyelidikan Pendidikan dan Latihan Vokasional Malaysia (MyRIVET) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan International Education Forum & Workshop for TVET-Campus Sustainability 2021 bahagian kedua secara dalam talian pada 27 Mei lalu selepas kejayaan penganjuran bahagian pertama pada 28 April 2021.

Forum yang bertemakan TVET Curricular Innovative Strategies ini melibatkan perkongsian ilmu dan pengalaman yang memfokuskan tentang bagaimana Malaysia, Vietnam dan Thailand menyusun strategi dan inovasi terhadap kurikulum supaya selaras dengan peranan institusi pendidikan sebagai pembekal tenaga kerja dalam bidang TVET.

Peranan dan penglibatan industri dalam pembangunan kurikulum juga dibincang dari peringkat sekolah sehinggalah ke peringkat pengajian tinggi.

Selain itu, pengukuhan kerjasama antara institusi pendidikan dengan industri turut digarapkan dalam forum ini supaya keperluan industri dan kurikulum di institusi pendidikan dapat diselaraskan.

Penganjuran forum ini berjaya menghimpunkan 112 peserta yang terdiri daripada ahli TVET campus dan UNEVOC Network Members dari Malaysia, Korea, Thailand, Vietnam dan Indonesia.

Sesi forum yang dikendalikan oleh Profesor Madya Ts. Dr. Mimi Mohaffyza Mohamad selaku moderator ini melibatkan penyertaan tiga panel pakar dalam bidang masing-masing iaitu Profesor Madya Ts. Dr Abdul Rasid Abdul Razzaq sebagai wakil UTHM, Tran Ho Dat dari Vinh Long University Technology of Education (VLUTE), Vietnam dan Profesor Madya Dr. Nuttarut Panananda, Rajamangala dari University Technology of Lanna (RMUTL), Thailand.

Turut menjayakan forum tersebut, Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly dan Pengarah MyRIVET, Profesor Madya Ts. Dr. Razali Hassan.

Menurut Pengarah Program, Dr. Nur Sofurah Mohd. Faiz dari FPTV, banyak soalan dan perkongsian pendapat telah diajukan kepada panel semasa forum berlangsung.

“Soalan-soalan yang dikemukakan mencetuskan perkongsian pendapat dan perbincangan daripada ahli panel sekali gus menjadikan sesi forum tersebut lebih bermakna dan berkesan,” katanya.

Tambah Dr. Sofurah, forum seumpama ini tidak akan berhenti begitu sahaja kerana akan disusuli dengan penganjuran seminar dan bengkel TVET-Campus Professional Educator Enhancement Programme pada bulan Julai dan Ogos akan datang khusus untuk ahli-ahli TVET Campus.

Sementara itu, Ketua Pusat CoR SPEED, Profesor Madya Ts. Dr. Mimi turut menzahirkan penghargaan dan rasa terima kasih beliau kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini terutamanya Naib Canselor UTHM, Pengarah MyRIVET, Pengarah Pusat Pembelajaran Atas Talian Tahap Global (CGOL) dan semua ahli jawatankuasa serta peserta yang terlibat.

 

*Sebahagian peserta forum.

*Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly menyampaikan ucapan alu-aluan.

*Ucapan Pengarah MyRIVET, Profesor Madya Ts. Dr. Razali Hassan turut menghangatkan sesi forum.

*Profesor Madya Ts. Dr Abdul Rasid Abdul Razzaq, Dekan Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional, UTHM berkongsi tentang strategi inovatif kurikulum.

*Profesor Madya Dr. Nuttarut Panananda dari Rajamangala University Technology of Lanna (RMUTL), Thailand berkongsi tentang inisiatif negara itu dalam menyediakan pendidik TVET dengan kaedah PdP baharu supaya selari dengan kehendak industri.

*Encik Tran Ho Dat dari Vinh Long University Technology of Education (VLUTE), Vietnam berkongsi tentang bagaimana negara itu mempromosi TVET dari peringkat sekolah rendah hingga ke pengajian tinggi.

Categories
Pendidikan Teknikal Vokasional

RELATED ARTICLE