Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Pusat Wakaf dan Endowmen mengagihkan dana endowmen bernilai RM170 ribu bagi membantu pelajar dari golongan B40 yang berkeperluan mendapatkan alat peranti dan pelan data internet.

Menurut Pengarah Pusat Wakaf dan Endowmen, Haji Abdul Malek Ibrahim, pihaknya komited dalam membantu universiti menyalurkan dana bagi tujuan pemberian alat peranti dan pelan data internet kepada pelajar yang berkeperluan.

“Inisitiatif ini diambil bagi membantu para pelajar universiti ini yang perlu mengikuti kuliah secara dalam talian berikutan penularan pandemik Covid-19 membelenggu dunia sejak awal tahun lalu.

“Pusat ini akan bersama-sama membantu universiti dalam usaha mengurangkan beban para pelajar yang terkesan akibat pandemik sekali gus memastikan mereka dapat meneruskan pembelajaran seperti biasa walaupun secara dalam talian,” katanya.

Tambah beliau, agihan ini dibuat bermula pada tahun 2020 yang mana peruntukan yang telah disalurkan adalah sebanyak RM150 ribu, manakala bagi tahun ini sumbangannya adalah sebanyak RM20 ribu, menjadikan jumlah keseluruhan bernilai RM170 ribu.

“Bantuan ini juga akan diteruskan sehingga satu tempoh masa lagi bergantung kepada jumlah dana yang diterima oleh Tabung Endowmen UTHM,” katanya.

Untuk rekod, Tabung Endowmen UTHM sebelum ini diwujudkan bagi memberi peluang kepada staf universiti, individu perseorangan mahupun pihak syarikat  menyalurkan sumbangan mereka untuk tujuan kebajikan.

“Pihak kami berharap agar semua pihak sama ada penyumbang individu ataupun syarikat kekal menyumbang kepada tabung ini agar dana tersebut dapat diagihkan kepada masyarakat, khususnya warga UTHM yang memerlukan,” katanya.

Beliau yang mewakili UTHM turut menzahirkan penghargaan dan rasa terima kasih kepada semua penyumbang yang telah menyumbang untuk tabung ini.

Sebarang maklumat berkaitan sumbangan kepada Tabung Endowmen UTHM ini, sila layari pautan berikut wakaf.uthm.edu.my