Sejak berlakunya wabak COVID-19, bandar-bandar di seluruh dunia telah menguatkuasakan sekatan terhadap perjalanan rakyatnya untuk mengehadkan penularan virus COVID-19. Malaysia juga mengambil pelbagai langkah bagi membendung risiko jangkitan, secara tidak langsung ia telah memberi impak kepada keseluruhan operasi sistem pengangkutan negara, malah pengendali pengangkutan awam turut terkesan.

Sejak penularan virus ini tahun lalu, permintaan terhadap pengangkutan awam merosot pada kadar sangat ketara. Bukan sahaja disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan, malah juga disebabkan oleh kebimbangan rakyat berkaitan risiko jangkitan. Norma baharu yang disarankan oleh kerajaan seperti penjarakan sosial telah menyebabkan pengendali pengangkutan awam terpaksa mengehadkan jumlah penumpang dalam satu-satu perjalanan.

Selepas PKP dilonggarkan, jumlah pengguna pengangkutan awam mula menunjukkan peningkatan, tetapi pada kadar yang rendah. Hanya sebahagian masyarakat kembali kepada norma lama iaitu bekerja di pejabat atau tempat kerja sedia ada dan belajar secara fizikal.

Perubahan ketara juga dapat dilihat daripada peralihan pemilihan pengangkutan awam sebagai mod utama pergerakan kepada kenderaan persendirian di seluruh dunia. Penangguhan sesi persekolahan juga memberikan kesan besar kepada pengusaha bas sekolah seperti dinyatakan Gabungan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (GPBSM) yang menjangkakan sebahagian besar pengusaha bas di seluruh negara mungkin akan gulung tikar jika penularan COVID-19 dan pelaksanaan kawalan pergerakan terpaksa diteruskan dalam tempoh yang lebih lama.

Dalam tempoh lebih setahun ini, pandemik COVID-19 menjadi krisis ekonomi terbesar bagi perkhidmatan pengangkutan awam negara. Penurunan permintaan pengangkutan awam yang teruk ini diparahkan lagi dengan peningkatan kos standard pembersihan yang baru. Dalam keadaan ini, beberapa agensi pengangkutan awam terpaksa berjuang bagi mengelakkan kerugian kewangan lebih besar, malah sebahagiannya terpaksa mula menjual aset atau memberhentikan pekerja serta perkhidmatan mereka.

 

Kesan jangka masa panjang COVID-19 ke atas pengangkutan awam negara

Realitinya, usaha memulihkan keyakinan orang ramai untuk menggunakan semula pengangkutan awam di tengah-tengah pelaksanaan langkah-langkah keselamatan yang ketat, bukanlah sesuatu yang dapat dilakukan dalam tempoh singkat. Tambahan lagi, jika penggunaan pengangkutan awam di negara ini masih berada di tahap rendah. Sebelum penularan pandemik COVID-19, majoriti masyarakat negara kita masih terarah kepada penggunaan kenderaan persendirian yang menjanjikan keselesaan, cepat dan privasi. Namun sejak penularan wabak ini, peralihan penggunaan kenderaan awam kepada penggunaan kenderaan sendiri nampaknya lebih jelas kelihatan. Keadaan ini turut perlu diberi perhatian terutamanya dalam kawasan bandar.

Di sini terdapat keperluan mendesak untuk bertindak dengan lebih cepat bagi memastikan bandar-bandar di Malaysia tidak terbeban dengan pertambahan aliran trafik dari kenderaan persendirian. Ini adalah kebarangkalian yang boleh berlaku setelah keseluruhan PKP ditamatkan pada masa akan datang dan jika berlaku pengurangan perkhidmatan pengangkutan awam akibat gulung tikar pada masa sekarang. Peningkatan aliran trafik dari kenderaan persendirian di atas jalan sudah tentu akan menyebabkan bandar menjadi tepu, dan seterusnya memberi kesan peningkatan pelepasan gas rumah hijau, pencemaran udara dan bunyi serta boleh mengurangkan produktiviti ekonomi.

Perkhidmatan pengangkutan awam pada dasarnya perlu mampu menyokong kelestarian dalam sistem pengangkutan negara. Sekiranya terdapat gangguan besar terhadap rangkaian perkhidmatan pengangkutan awam, sudah pastilah ia turut mengganggu usaha kerajaan yang ingin menggalakkan rakyat untuk melakukan perjalanan aktif yang mampan tanpa kenderaan bermotor seperti berjalan kaki. Selain itu jurang ketidakadilan dalam menawarkan akses yang lebih luas kepada rakyat khususnya yang berpendapatan rendah atau golongan yang tidak mampu untuk memandu kenderaan akan menjadi lebih besar. Dan ini akan membatasi peluang mereka untuk mendapat akses kepada peluang pekerjaan, pendidikan dan sebagainya.

Pulihkan keyakinan pengguna bagi memulihkan industri pengangkutan awam negara

Keadaan hari ini mendesak masyarakat untuk belajar untuk ‘hidup’ dengan COVID-19 dan membiasakan dengan norma baharu. Selepas PKP dilonggarkan, sesetengah sektor menjalankan aktiviti seperti sedia kala dengan penyesuaian mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP), manakala sebahagian lain memilih terus kekal bekerja dari rumah.

Bagaimanapun, terdapat sektor membuat penggiliran waktu kerja kepada kakitangan untuk mengimbangi tempoh bekerja dari rumah dan hadir secara fizikal di tempat kerja. Ini memerlukan perancangan logistik strategik untuk memudahkan dan menggalakkan pekerja menyesuaikan diri dengan norma baharu.

Paling penting perlu dititikberatkan ialah dengan memastikan kakitangan boleh sampai ke tempat kerja seperti dijadualkan dengan selamat. Ketika pembukaan semula sebahagian sektor, turut sama meningkatkan jumlah permintaan perjalanan. Bagi mengurangkan kebergantungan masyarakat kepada kenderaan persendirian, serta membantu industri pengangkutan awam yang kian tersepit pelbagai inisiatif boleh dilakukan secara bersama oleh kerajaan, pengendali perkhidmatan dan rakyat.

Selain skim bantuan yang ditawarkan oleh pihak kerajaan kepada para pengusaha pengangkutan awam, pihak yang terlibat juga perlu turut sama-sama memainkan peranan. Perkara yang paling utama untuk membantu sektor pengangkutan awam ini adalah, mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap keselamatan penggunaan perkhidmatan yang ditawarkan. Pengendali perkhidmatan tersebut perlu menyesuaikan perkhidmatan yang ditawarkan dengan norma baharu dan mampu membuktikan mereka mampu untuk mengendalikan SOP dengan betul. Ini termasuk meningkatkan kekerapan sanitasi, penyediaan cecair pembasmi kuman, memastikan pekerja dan penumpang memakai pelitup muka serta penjarakan fizikal sebagaimana ditetapkan.

Perancangan yang baharu terhadap jadual dan kekerapan perjalanan juga mungkin sangat praktikal untuk dilaksanakan bagi mengurangkan risiko kerugian serta memaksimumkan jumlah penumpang. Perancangan serta maklumat tepat dan terkini boleh disampaikan kepada pengguna untuk mendorong mereka menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam. Antara maklumat yang perlu disalurkan kepada pengguna adalah langkah yang diambil oleh pengendali perkhidmatan pengangkutan awam untuk memastikan pengguna selamat. Selain itu, penyediaan maklumat waktu puncak membolehkan pengguna membuat perancangan awal, sekali gus mengelakkan kesesakan dalam kenderaan awam dan stesen.

Promosi berkaitan penggunaan perkhidmatan pengangkutan awam juga perlu dilakukan dengan giat agar dapat menarik lebih ramai pengguna. Promosi ini perlu seiring dengan maklumat berkaitan keselamatan yang ditawarkan oleh pengendali perkhidmatan pengangkutan awam. Dan sebagai rakyat Malaysia, wajarlah kita menyokong industri tempatan terutama industri pengangkutan awam, apatah lagi pengangkutan awam ini diwujudkan dengan inisiatif pemulihan kesan buruk daripada keseluruhan rangkaian pengangkutan negara.

 

 

Profesor Madya Dr. Munzilah Md. Rohani

Pusat Pemanduan Bijak (SDRC), Fakulti Kejuruteran Awam dan Alam Bina

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

Beliau juga merupakan ahli ‘Transportation Science Society Malaysia (TSSM)’