Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah, bersediakah kita?

Sejak penularan wabak pandemik Covid-19, dunia menyaksikan peralihan norma baharu yang sangat drastik, termasuklah dalam aspek pendidikan. Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) adalah norma baharu yang perlu dihadapi...
Kredit foto_Kosmo siaran 28 April 2021

Sejak penularan wabak pandemik Covid-19, dunia menyaksikan peralihan norma baharu yang sangat drastik, termasuklah dalam aspek pendidikan. Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) adalah norma baharu yang perlu dihadapi oleh warga pendidikan. Penglibatan pelajar yang masih muda di dalam kelompok yang ramai, malah ditambah dengan kondisi sesetengah pusat pendidikan yang kurang kondusif meningkatkan lagi risiko jangkitan.

Namun mahu tidak mahu, masyarakat dunia khususnya di Malaysia perlu belajar untuk mengadaptasi kepada norma baharu PdPR ini. Menurut laporan khas dari Gulf News, virus ini berkemungkinan besar tidak akan hilang daripada manusia dan dijangka akan terus kekal untuk satu tempoh yang tidak diketahui. Jika kita tidak bersedia sekarang, kita akan terus merisikokan pendidikan kanak-kanak dan remaja di Malaysia yang secara asasnya memerlukan pendidikan yang terbaik ketika di usia mereka. UNICEF juga telah mengeluarkan laporan bahawa kanak-kanak di waktu pandemik ini diklasifikasikan sebagai Generasi Tercicir (Lost Generation) disebabkan faktor pendidikan yang terbantut dan statistiknya membimbangkan.

Sudah tentu peralihan drastik ini tidak mudah dan pasti menelan belanja dan kos yang bukan murah. Di atas kertas, PdPR mungkin dilihat satu jalan efektif bagi menggantikan kaedah pengajaran konservatif. Pelajar, guru atau pensyarah perlu menghadap komputer riba dan proses ini berlaku seperti biasa. Namun hakikatnya, ia tidak semudah sedemikian. Menurut laporan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), seramai 70 peratus pelajar meliputi setiap lapisan (daripada pra-sekolah hingga institusi pengajian tinggi) tidak mempunyai kemudahan komputer riba.

PdPR juga menuntut pelajarnya mempunyai capaian Internet yang kuat dan stabil. Pelbagai tuntutan dibuat oleh organisasi awam dan swasta terhadap kerajaan, setidaknya meluaskan capaian Internet khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman. Usaha itu sudah dapat dilihat daripada pengagihan belanjawan serta fokus kerajaan untuk meningkatkan capaian Internet dalam lima tahun mendatang. Namun sejauh mana pelaksanaannya? Cukup atau tidak untuk menampung pelajar-pelajar di pedalaman ini? Bagi pelajar yang datang dari keluarga B40, bilik peribadi yang selesa dan kondusif pasti sukar untuk diperoleh sekali gus merencatkan fokus dan konsentrasi mereka ketika PdPR.

Sekalipun kemudahan asas di atas dipenuhi, keberkesanan PdPR terutama terhadap para pelajar perlu dan wajar dipersoalkan. Penulis juga sempat merasai pengalaman PdPR sebagai pelajar ketika pengajian tahun akhir di universiti. Sekalipun dilengkapi dengan semua kemudahan bagi PdPR, penulis merasakan perlunya bersemuka dengan pensyarah bagi memahamkan topik pelajaran. Tambahan pula, komunikasi secara langsung (face to face) dalam kursus Senibina sangat dituntut kerana kursus ini memerlukan perbincangan dan komunikasi dua hala yang berkesan antara pelajar dan pensyarah. Pelajar kursus Senibina berkomunikasi bukan sahaja secara lisan, malah melalui grafik di atas kertas dan skrin. Perbincangan seperti ini sukar ditawar melalui PdPR.

Sebagai pensyarah, penulis juga mendapati PdPR juga merencatkan proses pengajaran. Dengan komunikasi yang hanya terhad di dalam skrin dan di atas papan kekunci, penulis tidak pasti sejauh mana pemahaman pelajar terhadap pengajaran yang disampaikan. Walaupun rekod kehadiran pelajar sangat memberangsangkan, namun penulis tidak pasti sejauh mana ‘tumpuan’ boleh diberikan dalam proses PdPR tersebut.

Tambahan pula, kuiz dan ujian sukar dilaksanakan secara dalam talian. Persediaan soalan dan skema jawapan daripada pihak pensyarah mungkin tak jauh beza, namun pelaksanaannya agak sukar dan membuka ruang yang luas bagi penipuan dan ketidakjujuran sekali gus membantutkan makna ‘ujian’ itu sendiri.

Namun, dengan perkembangan pandemik yang dilihat tidak akan berhenti dalam masa terdekat, semua pihak termasuk pelajar, pengajar dan ibu bapa perlu bersedia dan menerima kaedah pembelajaran baharu ini. Sekalipun PdPR sekarang dilihat membawa masalah kepada ramai pihak, kaedah ini lambat laun bakal menjadi norma baharu malah keperluan di masa hadapan. Dengan perkembangan teknologi digital yang memungkinkan lebih ramai orang mengakses Internet, tidak mustahil PdPR bakal menjadi salah satu daripada aspek pengajaran yang kompulsari di kemudian hari.

PdPR secara tidak langsung membuka dimensi baharu terhadap ruang lingkup pendidikan. Jika dahulu soal pengajaran diserah bulat-bulat kepada guru dan pensyarah, kini ibu bapa juga perlu memainkan peranan dalam soal didikan anak-anak. Keberadaan pelajar di rumah memberi ruang yang besar kepada ibu bapa untuk membantu proses PdPR sekali gus memantau sepenuhnya perkembangan anak-anak.

Ibu bapa yang sebelumnya bekerja berjam-jam di pejabat, kini mampu meluangkan masa yang lebih untuk anak-anak mereka. Menyaksikan  perkembangan anak-anak di usia muda inilah yang menjadi rebutan semua ibu bapa. Saat mereka sudah melangkah keluar dari rumah bagi menjalani hidup kendiri, saat itu ramai ibu bapa yang ralat dan terkilan kerana tidak ada bersama anak-anak saat mereka membesar.

PdPR seharusnya menjadi medium buat kita semua bersedia untuk kemungkinan masa hadapan. Anjakan dari segi kemahiran, pengurusan serta kursus dan subjek pengajaran perlu dilakukan bagi menyediakan kita terhadap PdPR dan pandemik Covid-19 ini.

Pandemik ini sedikit sebanyak menjadikan kita bersedia untuk berubah dan beralih ke kaedah baharu ini. Sudah tentu inovasi dan penambahbaikan perlu dilakukan bagi menjadikan PdPR satu yang relevan. Mekanisme terbaru perlu dibuat bagi memastikan keberkesanan dalam pengajaran ini dapat ditingkatkan.

 

 

Khairul Asyraf Mohd Rodzi

Pensyarah

Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Categories
covid-19E-WacanaRencana

RELATED ARTICLE