Pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus diberi bantuan makanan percuma melalui program Sabil Al-Hikmah bagi membantu mengurangkan beban mereka yang kurang berkemampuan khususnya dari kategori B40.

Sejak program ini dilancarkan pada Mac 2016 sehingga Februari 2021, sebanyak 2,088 pek atau kupon makanan telah diedarkan kepada pelajar dengan nilai terkumpul mencecah RM294,367.93.

Terkini, pelaksanaan Sabil Al-Hikmah masih lagi berjalan seperti biasa melibatkan 106 pelajar yang sedang mengikuti pengajian Semester II Sesi 2020/2021 yang menginap di kolej-kolej kediaman kampus induk dan kampus cawangan Pagoh, bermula pada 11 April  lalu dan berakhir pada 31 Julai akan datang.

Untuk rekod, program Sabil Al-Hikmah merupakan program kebajikan khusus kepada pelajar kurang berkemampuan terutama dari kategori B40 yang dibantu menerusi lima pendekatan iaitu bantuan kewangan, makanan dan perkakasan, perumahan/pengangkutan/fasiliti, pengukuhan jati diri, sahsiah dan akademik serta sosio-keusahawanan.

Peruntukan yang diperolehi bagi bantuan ini adalah daripada sumbangan para dermawan dan melalui potongan gaji staf UTHM.

Fokus pelaksanaan Sabil Al-Hikmah ketika ini berupa bantuan makan tengah hari secara percuma kepada pelajar berkeperluan pada hari kuliah sepanjang semester berjalan.

Menurut Pengarah Pejabat Hal Ehwal Pelajar (PHEP), Hawa Omar pada awal pelaksanaan program ini, bantuan makanan disediakan secara pek dan diletakkan di Pejabat Hal Ehwal Pelajar, kampus induk dan Pejabat Pentadbiran Kampus Cawangan Pagoh.

“Walau bagaimanapun sejak September 2020, kaedah agihan bantuan dibuat menerusi edaran kupon makanan sepenuhnya.

“Kupon makanan tersebut boleh ditebus di kafeteria kolej-kolej kediaman dalam kampus,” katanya.

Tambah beliau lagi, sejak tahun 2020 bantuan makanan menerusi Sabil Al-Hikmah telah dibuat sebanyak tiga kali iaitu pada Semester II (Februari), Semester Khas (Ogos) dan Semester I (Oktober) sesi pengajian.

“Pihak universiti sentiasa mencari ruang dan kaedah terbaik bagi membantu meringankan beban pelajar serta memudahkan lagi urusan mereka.

“Dalam situasi norma baharu ini, kaedah penyampaian bantuan kebajikan pelajar sentiasa ditambah baik dan diperkemas supaya lebih fleksibel dan berfokus, pada masa yang sama patuh kepada prosedur dan peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Dalam memastikan program Sabil Al-Hikmah ini dapat diteruskan pada masa akan datang, PHEP selaku pengelola program dengan kerjasama MPP amat mengalu-alukan sumbangan daripada pelbagai pihak yang berhasrat untuk menderma untuk kelangsungan program ini.

Sumbangan boleh dibuat menerusi potongan gaji dan tunai.