Oleh Muhammad Faris Abdul Hadi

Pagoh,11 Julai 2021- Seramai 105 pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerima tajaan 35 E-Paper Education ID Codes dua akhbar iaitu New Straits Times (NST) dan Berita Harian (BH) daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Pasir, YB Kapt (B) Haji Najib Lep.

Penyerahan tajaan ID codes ini telah dibuat oleh YB Najib kepada Prof. Madya Ts. Dr. Mohd. Kamarulzaki Mustafa, Provost UTHM-Kampus Cawangan Pagoh merangkap Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Pengurusan, Hab Pendidikan Tinggi Pagoh.

Tajaan ini juga turut diberikan kepada wakil pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Politeknik Tun Syed Nasir (PTSN) yang berada di Hub Pendidikan Tinggi Pagoh (HPTP).

UTHM diwakili oleh Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Muhammad Faris Abdul Hadi.

Pelajar yang terpilih diberi akaun percuma untuk mengakses akhbar NST dan BH untuk tempoh satu tahun langganan.

Menurut Faris, tajaan E-paper dapat menyemarakkan lagi budaya membaca dalam kalangan pelajar universiti sekali gus mampu membantu membawa berita, info dan komunikasi terkini untuk pelajar lebih peka dengan keadaan semasa negara dan dunia.

Tambah beliau, program seumpama ini juga mampu menggalakkan sikap rajin membaca, meningkatkan kemahiran penggunaan dua bahasa utama iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris serta dapat mengakses maklumat dan sumber rujukan rasmi untuk kerja kursus secara dalam talian.

“Ini membolehkan kami mendapat naskah kedua-dua akhbar ini setiap hari secara dalam talian tanpa perlu membeli akhbar yang bercetak,” katanya.

Pihaknya turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada YB Najib dan berharap penajaan seumpama ini dapat memberi manfaat kepada pembangunan modal insan pelajar.