UTHM prihatin, sumbang 3 tan pakaian terpakai untuk masyarakat Orang Asli negeri Perak

BATU PAHAT, 1 Mei 2021 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Research Center for Unmanned Vehicle, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan menzahirkan keprihatinan mereka dengan menyampaikan sumbangan...
Dr. Zulafif menyampaikan sumbangan kepada Pengarah JAKOA Perak, Tuan Harulnizam Abd Rahman

BATU PAHAT, 1 Mei 2021 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Research Center for Unmanned Vehicle, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan menzahirkan keprihatinan mereka dengan menyampaikan sumbangan tiga tan pakaian terpakai untuk masyarakat Orang Asli negeri Perak.

Sumbangan dengan kerjasama Pejabat Pelajar Tanpa Asrama, Pusat Dobi Al Hijrah serta Pertubuhan Kaum Dessit Duanu iaitu sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Orang Asli Suku Kaum Kuala ini disampaikan terus kepada Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Perak, Tuan Harulnizam Abd Rahman.

Menurut Pengerusi Pertubuhan Dessit Duanu, Dr. Mohammad Zulafif Rahim yang juga merupakan pensyarah UTHM, pakaian terpakai itu merupakan sumbangan masyarakat setempat dan pensyarah UTHM dalam usaha membantu menyediakan keperluan asas kepada masyarakat Orang Asli negeri terbabit.

“Usaha ini merupakan kesinambungan daripada cetusan idea YB Senator Masyarakat Orang Asli, Dato’ Isa Ab Hamid menerusi program “Amal Bundle” yang telah menyumbang kira-kira 20 tan pakaian terpakai kepada masyarakat Orang Asli Perak dan Kelantan pada Disember tahun lalu,” katanya.

Tambah Dr. Zulafif, sumbangan tersebut amatlah sedikit jika hendak dibandingkan dengan jumlah masyarakat Orang Asli di kawasan Hulu Perak yang mencecah lebih 11 ribu.

“Namun begitu sumbangan ini amat bermakna kepada mereka kerana di kala masyarakat umum berbilang bangsa dan agama di luar sana sibuk mencari pakaian cantik dan baharu untuk berhari raya,  mereka yang berada di pendalaman perlu mengambil masa sehingga lapan jam untuk keluar dari hutan membeli pakaian.

“Terdapat kampung-kampung yang hanya mempunyai akses ke bandar dan pekan menggunakan jalan sungai, dan penduduknya perlu menaiki perahu dengan jarak perjalanan yang lama,” katanya.

Dr. Zulafif juga menambah dalam usaha memartabatkan nilai kebersamaan, dapat dilihat semakin hari pelbagai NGO dan badan kerajaan mula mempergiat hubungan dengan masyarakat Orang Asli.

Namun katanya, kualiti pendidikan yang menjadi asas kemajuan masyarakat perlu terus dipertingkatkan agar ianya setaraf dan selari dengan keperluan masyarakat.

“Usaha bantu membantu dalam kalangan masyarakat harus terus dipupuk agar nilai insaniah masyarakat Malaysia dapat terus berkembang,” katanya.

Beliau yang mewakili UTHM juga berharap pelaksanaan program seumpama ini sedikit sebanyak dapat membantu masyarakat Orang Asli, di samping sebagai tanggungjawab sosial yang boleh dilakukan untuk masyarakat sekeliling.

 

Pengetua Pejabat Pelajar Tanpa Asrama, Prof. Madya Dr. Rasidi Ibrahim bersama Jawatankuasa Program

 

Categories
Sosial , Kebajikan dan Masyarakat

RELATED ARTICLE