BATU PAHAT, 10 Mei – Ketika penularan COVID-19 memasuki gelombang ketiga melanda negara, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerima sumbangan peribadi berjumlah RM40 ribu daripada DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) sempena sambutan Aidilfitri yang bakal tiba.

Tunku Ismail yang juga merupakan Pro Canselor UTHM mengurniakan sumbangan tersebut bagi membantu meringankan beban yang dihadapi oleh para pelajar universiti ini yang akan menyambut Aidilfitri di kampus Induk Parit Raja dan Kampus Cawangan Pagoh.

Sumbangan disampaikan oleh Tuan Syed Umar Syed Abdul Rahman, Setiausaha Sulit kepada TMJ kepada Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly, Naib Canselor UTHM bertempat di Perpustakaan Tunku Tun Aminah, kampus induk.

Datuk Wahid mewakili warga universiti merafak sembah merakamkan setinggi-tinggi ucapan menjunjung kasih kepada Tunku Ismail di atas pengurniaan sumbangan tersebut.

“Semoga sumbangan ini dapat menceriakan dan memberi sedikit kegembiraan kepada pelajar yang tidak pulang ke kampung halaman masing-masing untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga,” katanya.