MyDIGITAL dan Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 19 Februari 2021. MyDIGITAL merupakan aspirasi kerajaan dalam mentransformasi negara berpendapatan tinggi berpacukan pendigitalan seterusnya menjadikan Malaysia peneraju serantau dalam ekonomi digital.

Blueprint Ekonomi Digital Malaysia pula menggariskan usaha, inisiatif dan penerapan rangka kerja tadbir urus bagi memacu penyampaian serta pendekatan terhadap kerjasama kerajaan (sektor awam), perniagaan (sektor swasta) serta rakyat (masyarakat).

Melalui Blueprint Ekonomi Digital Malaysia maka aspirasi MyDIGITAL bakal dipenuhi melalui tiga fasa pelaksanaan. Ia meliputi enam teras utama, 22 strategik, 48 inisiatif nasional dan 28 inisiatif sektoral sehingga tahun 2030.

Sesuatu yang perlu dipandang serius apabila blueprint menyasarkan seawal tahun 2022 bagi semua sektor awam menyediakan pilihan pembayaran tanpa tunai dan penggunaan storan pengkomputeran awam merentas sektor awam sehingga 80%. Malah menjelang 2025 sektor awam harus memastikan 100% penjawat awam celik digital dan 80% perkhidmatan kerajaan berada dalam talian sepenuhnya. Cabaran besar kepada semua penjawat awam bagi menjayakannya.

Adalah menarik apabila Teras Pertama yang di gariskan ialah bagi memacu transformasi digital sektor awam dengan menyenaraikan lima strategik utama yang perlu diberi perhatian untuk dicapai. Ini menunjukkan betapa pentingnya peranan penjawat awam dalam mendukung tugas paling berat memastikan dasar dan rangka tindakan khususnya di sektor awam berjaya dilaksanakan.

Pertama ialah mengurus perubahan untuk beralih kepada digital secara berkesan. Maka satu gerakan besar-besaran terhadap budaya kerja dan cara fikir penjawat awam untuk beralih daripada kaedah tradisional kepada digital dalam setiap pekerjaan dan perkhidmatan harus dilakukan segera.

Dalam hal ini Ketua Pegawai Maklumat di setiap kementerian telah diminta menjadi Ketua Pegawai Digital (CDO) bagi usaha mewujudkan budaya kerja yang dipacu oleh digital. CDO bakal menerajui perkara berkaitan teknologi digital, infrastruktur data, tadbir urus data, analitis data, literasi digital, data terbuka dan teknologi pintar.

Kedua ialah memanfaatkan teknologi digital untuk meningkatkan kecekapan proses kerja dan produktiviti. Hal ini dapat dilakukan dengan memastikan penjawat awam meningkatkan penerimagunaan teknologi digital dan penggunaan peralatan digital. Usaha mengutamakan pengkomputeran awan mampu meningkatkan proses kerja dan produktiviti. Ia sekali gus mengamalkan budaya kerja tanpa kertas dalam pekerjaan seharian.

Ketiga ialah meningkatkan set kemahiran digital penjawat awam. Sudah tiba masanya penjawat awam disediakan satu set kemahiran bersesuaian dan bermutu tinggi nilainya. Malah boleh dijadikan indikator dalam pelbagai penilaian dan promosi kenaikan pangkat di masa hadapan. Dalam jangka masa panjang usaha ini mengurangkan kebergantungan kepada latihan kepakaran dari luar dan penjimatan kos. Dalam hal ini tidak ada lapisan gred jawatan boleh dikecualikan.

Keempat ialah memanfaatkan data untuk menambah baik perkhidmatan kerajaan. Dalam hal ini penjawat awam harus sedar akan kuasa maklumat dan data yang pada mereka. Ini kerana data yang tidak dimanfaatkan, tidak dipersembahkan dan tidak dihubungkaitkan dengan baik hanya menghasilkan sejumlah pembaziran masa serta tenaga yang banyak.

Menjadi harapan kerajaan bagi memaksimumkan penggunaan data, menambah baik penganalisisan dan mengoptimumkan data yang boleh dikongsi bersama. Hub Perkongsian Data Kerajaan (MyGDX) oleh MAMPU harus terus disokong dan diperkasakan  dalam usaha menyediakan perkhidmatan broker data yang sering dirujuk oleh pelbagai agensi. Pelaksanaannya membolehkan maklumat diselaras dan dikongsikan merentasi agensi dengan lebih efisien.

Kelima ialah meningkatkan skop dan kualiti perkhidmatan dalam talian bagi menambah baik pengalaman pengguna. Perkhidmatan dalam talian bukan lagi satu pilihan malah merupakan elemen utama dalam pemberian perkhidmatan. Malangnya imej sektor awam sering kali diburukkan dengan tahap perkhidmatan dalam talian yang buruk hingga menerima kecaman dan persepsi negatif.

Oleh yang demikian kemuncak kepada kualiti perkhidmatan dalam talian yang perlu diusahakan oleh penjawat awam ialah memastikan keseluruhan proses transaksi digital yang dijamin selamat untuk memenuhi keperluan kerahsiaan, pengesahan identiti dan integriti maklumat. Ini tanggungjawab yang besar untuk diusahakan oleh setiap penjawat awam di segenap lapisan.

Kesimpulannya, transformasi pengetahuan dan penguasaan digital oleh penjawat awam bukan lagi satu pilihan tetapi satu kemestian. Dalam menghadapi revolusi dan ekosistem digital, penjawat awam perlu serius beradaptasi dengan cepat dengan menyingkir perasaan takut mencuba. Malah perlu mendahului khususnya dalam pembentukan infrastruktur, mengawal selia dan pemudah cara kepada sebuah negara yang bakal terhubung sepenuhnya.

Hasrat MyDIGITAL untuk “memperkasakan rakyat dan membolehkan perniagaan” hanya dapat dicapai dengan penjawat awam yang mampu memanfaatkan teknologi, data dan kecerdasan digital, berupaya meningkatkan set kemahiran digital dan meningkatkan kualiti perkhidmatan dalam talian di sektor masing-masing.

 

Dr. Lutfan Jaes

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)