Pelaksanaan Latihan Mengajar adalah salah satu keperluan dalam Amalan Profesional Program Pendidikan. Bagi program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Vokasional (ISMPV) dan Sarjana Pendidikan Teknik dan Vokasional (PTV) secara kerja kursus  di Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), para pelajarnya diwajibkan menjalani Latihan Mengajar selama 14 minggu di institusi-institusi TVET yang diiktiraf.

Bagi melaksanakan Latihan Mengajar ini, UTHM melalui Jabatan Latihan Mengajar dan Latihan Industri, FPTV berkolaborasi dengan Kolej Vokasional, Kolej Komuniti, Politeknik, Institut Latihan Kemahiran dan Sekolah-sekolah Menengah berdasarkan bidang pengajian yang ditawarkan di FPTV.

Pelaksanaan Latihan Mengajar semasa tempoh pandemik ini sememangnya merupakan satu cabaran kerana pendekatan pengajaran dan pembelajaran (PdP) norma baharu secara tidak langsung memberi kesan emosi kepada guru-guru pelatih yang menjalani latihan mengajar.

Perubahan pelaksanaan PdP secara bersemuka yang biasa diamalkan tidak dapat dijalankan dalam tempoh pandemik ini. Pendekatan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) telah diperkenalkan bagi memastikan akses kepada pendidikan dapat dicapai oleh semua pelajar meskipun tidak dapat hadir secara fizikal di institusi.

PdPR ini boleh dilaksanakan secara dalam talian atau luar talian atau secara off-site. Kaedah ini telah diterima oleh semua peringkat institusi dan guru-guru pelatih di FPTV UTHM juga dapat menerima kaedah PdPR ini semasa menjalani latihan mengajar dengan merancang strategi pengajaran yang berkesan.

Pedagogi dalam TVET menetapkan hasil pembelajaran yang jelas dan eksplisit dari aspek pancapaian kognitif, psikomotor dan afektif. PdPR yang dilaksanakan juga perlu mengambil kira penilaian terhadap hasil pembelajaran bagi memastikan pelajar-pelajar yang diajar dapat memperolehi pengetahuan dan kemahiran yang sepatutnya.

Guru-guru pelatih di FPTV, UTHM dapat menguasai kemahiran pengajaran yang baik hasil dari kursus-kursus ikhtisas pendidikan dan TVET yang telah mereka pelajari sepanjang pengajian di FPTV.

Mereka juga dapat menguasai Technological Pedagogical Content Knowledge (TPCK) iaitu konsep kefahaman dan penerangan mempraktikkan pedagogi yang berkesan dengan bantuan teknologi.

Pelbagai platform digunakan semasa PdPR seperti google meet, microsoft team, zoom, webex, whatsapp dan telegram. Secara tidak langsung kemahiran teknologi dan inovasi dalam pendidikan TVET dapat diterapkan dalam PdPR.

Sebagai bakal pendidik, guru-guru pelatih FPTV di UTHM turut membantu tugas-tugas lain selain PdP. Walaupun aktiviti ko-kurikulum secara fizikal tidak dapat dilaksanakan dalam tempoh pandemik ini, aktiviti-aktiviti selain dari PdP perlu dilaksanakan kerana ia merupakan salah satu kriteria penilaian latihan mengajar.

Maka, inisiatif guru-guru pelatih ini melaksanakan program-program secara virtual amatlah releven bagi memastikan kesimbangan jasmani, rohani, emosi dan intelek dapat diterapkan kepada pelajar-pelajar mereka.

Antara program-program yang dilaksanakan secara virtual adalah seperti Kemahiran Menghasilkan Peta Minda menggunakan Aplikasi Coogel bagi meringkaskan nota pembelajaran, Pertandingan Web Business Challenges  dan Kaedah Penghasilan Video menggunakan perisian Filmora.

Penghayatan terhadap profesionalisme keguruan guru-guru pelatih FPTV ini, mewujudkan daya tahan mereka dalam menghadapi cabaran menyampaikan ilmu. Cabaran yang dihadapi ini dapat menginspirasikan guru-guru pelatih FPTV untuk memanfaatkan pengetahuan dan kemahiran untuk menjadi nilai kepada generasi masa kini dan akan datang.

Justeru itu, dengan sikap proaktif guru-guru pelatih FPTV sepanjang tempoh Latihan Mengajar merupakan satu penghayatan kepada asas Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) ke arah memperkembangkan potensi secara menyeluruh dan seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Daya usaha ini akan memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan dan matlamat pendidikan dicapai secara adil dan holistik untuk semua golongan dalam tempoh pandemik ini.

 

 

Prof. Madya Ts. Dr. Mimi Mohaffyza Mohamad

Ketua Jabatan

Jabatan Latihan Mengajar dan Latihan Industri

Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)