Penyelidik UTHM bantu usaha pelihara Hutan Simpan Kekal Ayer Hitam Utara

28 Februari 1940 merupakan tarikh  penggazetan Hutan Ayer Hitam Utara sebagai Hutan Simpan Kekal merangkumi kawasan seluas 2797 hektar dengan nombor gazet 272. Menurut catatan Majlis Perbandaran Muar, Johor...

28 Februari 1940 merupakan tarikh  penggazetan Hutan Ayer Hitam Utara sebagai Hutan Simpan Kekal merangkumi kawasan seluas 2797 hektar dengan nombor gazet 272. Menurut catatan Majlis Perbandaran Muar, Johor dalam buku terbitannya Hutan Simpan Kekal Ayer Hitam Utara – Hutan Paya Gambut Terakhir Johor, Hutan Simpan Kekal Ayer Hitam Utara merupakan satu-satunya hutan paya gambut yang terbesar dan masih wujud di Johor, yang terkenal dengan kepelbagaian flora dan fauna yang unik.

Terletak lebih kurang 22 kilometer dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Kampus Cawangan Pagoh, atau 25 minit pemanduan, Hutan Simpan Kekal Ayer Hitam Utara terkenal dengan ikan pelaga Betta persephone yang diancam kepupusan.

Untuk rekod, Pegawai Daerah Muar, Haji Mustaffa Kamal Dato’ Haji Shamsudin sebelum ini turut mengadakan lawatan kerja ke Pusat Pameran Konservasi ikan Betta Ayer Hitam pada 17 Februari lalu. Penubuhan pusat konservasi tersebut, selain boleh menjadi living laboratory oleh pelbagai institusi pendidikan tinggi dari dalam dan luar negara, ia juga diharap dapat menjadi jaminan agar ancaman kepupusan spesies ikan tersebut boleh diatasi.

UTHM Kampus Cawangan Pagoh yang merupakan salah satu institusi pengajian tinggi yang berhampiran sebenarnya turut memiliki keupayaan untuk menyumbang pada pemuliharaan ikan Betta persephone tersebut, memandangkan terdapat tiga kajian terkini berkaitan ikan pelaga bawah seliaan Dr. Siti Fatimah Sabran dari Jabatan Teknologi dan Sumber Semulajadi (JTS), Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) telah dibukukan sebagai tesis projek sarjana muda.

Walaupun ketiga-tiga kajian tersebut berkisar tentang spesies ikan pelaga Betta splendens, tetapi kaedah kajian yang sama boleh diguna pakai untuk Betta persephone memandangkan kedua-dua spesies tersebut berasal dari genus atau keluarga yang sama. Kajian-kajian tersebut juga turut diiktiraf menerusi anugerah pingat perak yang diterima Dr. Siti Fatimah ketika menyertai The International Research and Symposium and Exposition (RISE) baru-baru ini anjuran UTHM. Kepakaran tersebut dilihat sebagai salah satu peluang UTHM untuk turut serta dalam usaha pemuliharaan spesies unik Betta persephone tersebut.

Selain sebagai pusat pemuliharaan ikan Betta persephone Ayer Hitam, Pegawai Daerah tersebut turut menggesa Lembaga Perindustrian Nenas Malaysia (LPNM) merangka gerak kerja bagi meluaskan tapak semaian anak benih Nenas MD 2 atau nenas morris secara biasa, dan kajian kemungkinan menjadikan sebahagian kawasan kompleks penghulu Mukim Ayer Hitam sebagai pusat pembenihan dengan teknologi tisu kultur.

Kerjasama dengan pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) juga amat penting untuk pemasaran. Nenas termasuk nenas morris atau Ananas commosus merupakan tanaman yang sesuai dengan tanah gambut. Tumbuhan belukar mudah untuk tumbuh di tanah gambut dan ia senang terbakar apabila cuaca kering, oleh itu penanaman nenas diharap dapat mengatasi pertumbuhan tumbuhan belukar seterusnya dapat mengurangkan risiko kebakaran di Hutan Simpan Kekal Ayer Hitam Utara.

Memandangkan UTHM juga mempunyai penyelidik dalam bidang teknologi makanan serta memiliki kemudahan makmal bagi tujuan penyelidikan berkaitan, kerjasama dengan LPNM, Pejabat Daerah Muar, Jabatan Perikanan Johor dan Pejabat Perhutanan Johor perlu disegerakan dan dilaksanakan untuk mempelbagaikan penghasilan produk-produk berasaskan nenas dan juga tanaman-tanaman lain bagi tujuan pengkomersilan.

Beberapa hari ini kebakaran di Kampung Parit Lajis Batu 15 Ayer Hitam, Muar berhampiran Hutan Simpan Kekal Ayer Hitam Utara menyebabkan ruang udara sekitar daerah tersebut diliputi jerebu. Institut Penyelidikan Tanah Gambut Tropika Sarawak (TROPI) yang juga berhadapan dengan kejadian tanah gambut terbakar berulang di Sarawak telah mencadangkan beberapa langkah untuk mengatasi masalah itu.

Antaranya pemilik tanah dicadangkan menjadikan kawasan terlibat sebagai kawasan pertanian contohnya dengan penanaman nenas dan mencadangkan kepada pihak keselamatan supaya menggunakan kemudahan jengkaut untuk memadatkan struktur tanah gambut di kawasan yang terjejas.

Menurut Dr. Lulie Melling yang merupakan pakar dalam tanah gambut, penggunaan jengkaut adalah sesuai untuk proses konsolidasi tanah jenis itu kerana berat jengkaut boleh memendapkan tanah dan mengetatkannya.

Tambah beliau, apabila air bawah tanah naik ke atas melalui proses kapilari, tanah di permukaan tanah gambut akan menjadi lembab, apabila lembap dan ketat ianya tidak mudah menjadi hangus. Walau bagaimanapun, langkah-langkah yang dicadangkan itu perlu disesuaikan dengan struktur dan komposisi tanah hutan simpan kekal terbabit dan kawasan sekitarnya. Prihatin dengan masalah itu, Research Center for Soft Soil (RECESS) UTHM yang diketuai oleh Ts. Dr. Nor Azizi Yusoff kini sedang giat bekerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan untuk membantu mengatasi masalah kebakaran di kawasan tersebut.

Ternyata penggazetan hutan Ayer Hitam Utara sebagai Hutan Simpan Kekal adalah tepat. Pada 28 Februari 2021 maka genaplah ulang tahun ke-81 penggazetan hutan Ayer Hitam Utara sebagai Hutan Simpan Kekal. Idea Green Tourism yang telah tercetus baru-baru ini merupakan cadangan yang amat baik yang mana aktiviti ekonomi berasaskan pelancongan pembelajaran ini akan dapat menggalakkan lagi industri pelancongan tempatan.

Oleh itu, penglibatan para penyelidik daripada UTHM adalah amat perlu dalam membantu merealisasikan inisiatif Pejabat Daerah Muar, Jabatan Perikanan Johor, Lembaga Perindustrian Nenas Malaysia (LPNM) dan Pejabat Perhutanan Johor dengan menjadikan institusi Penghulu sebagai pusat pengajaran dan pembelajaran selain penggerak aktiviti eko-pelancongan.

Penglibatan para pensyarah program kepelbagaian biologi dan pemuliharaan dari UTHM terutama yang aktif menjalankan projek-projek berkaitan pelancongan semulajadi boleh membantu dari segi pengenalpastian produk-produk pelancongan, mereka bentuk pakej pelancongan serta memberi perundingan serta latihan kepada penduduk-penduduk setempat yang berminat untuk menjadi pemandu pelancong.

Semoga Hut an Simpan Kekal Ayer Hitam Utara tetap dipelihara dan terus kekal menjadi khazanah semula jadi negeri Johor yang boleh dinikmati oleh generasi-generasi yang akan datang.

 

 

Ts. Dr. Kamarul Rahim Kamarudin

Ketua, Centre of Research For Sustainable Uses of Natural Resources (CoR-SUNR)

Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST)

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Categories
E-WacanaRencanaSains Gunaan dan Teknologi

RELATED ARTICLE