BATU PAHAT – Bagi merealisasikan hasrat menjadikan UTHM sebagai universiti untuk masyarakat, Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Jabatan Teknologi Kejuruteraan Awam telah menganjurkan satu lagi siri khidmat masyarakat bersama komuniti Orang Asli Kampung Kangkar Senangar, Parit Sulong pada 25 Disember 2020 lalu.

Program khidmat masyarakat yang berlangsung selama beberapa jam ini melibatkan penyertaan dua pensyarah FTK iaitu Dr. Mimi Suliza muhamad dan Dr. Roslinda Ali bersama dengan 10 pelajar fakulti terbabit.

Menurut Dr. Mimi, program ini diadakan bertujuan untuk memberikan peluang kepada staf dan pelajar FTK untuk menyumbang tenaga bagi membantu komuniti kampung tersebut untuk hidup lebih selesa, di samping sebagai usaha mengeratkan lagi hubungan persaudaraan.

“Kami bersama penduduk kampung bergotong-royong membersihkan surau, memotong rumput dan menanam pokok dan pada masa yang sama kami turut mengambil dan menganalisis sampel air telaga.

“Terima kasih diucapkan kepada Tok Lim Abdul Rahman selaku Tok Batin orang asli Kampung Kangkar Senangar, pelajar-pelajar dan semua pihak yang terlibat dalam menyumbangkan masa serta tenaga bagi menjayakan program khidmat masyarakat ini,” katanya.

Pasukan ini berharap pelaksanaan aktiviti seumpama ini dapat memberi manfaat kepada penduduk kampung di samping dapat memulihara alam sekitar dan mengeratkan ukhuwah sesama insan.