PEKAN BARU, 22 Dis 2020 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berkolaborasi dengan Universitas Islam Riau (UIR) dan Cranfield University (CU) United Kigdom bagi menjayakan projek pembangunan sistem Internet di Kampung Mandiangin Kecamatan Minas, Kabupaten Siak Sri Indrapura, Provinsi Riau.

Ketua Projek yang mewakili UTHM, Profesor Madya Dr. Muhammad Ramlee Kamarudin, yang juga merupakan penerima Top Research Scientists Malaysia (TRSM) 2020 baru-baru ini, menyatakan pasukannya memilih Kampung Madiangin sebagai lokasi projek kerana kampung ini berada agak jauh di pendalaman dan sememangnya tiada langsung akses Internet sebelum ini.

Tambah beliau projek menerusi geran Global Challenges Research Fund (GCRF) yang mendapat peruntukkan kira-kira RM80 ribu ini melibatkan kerja-kerja pemasangan rangkaian pemancar di Pejabat Majlis Daerah dan pembinaan menara setinggi 50 meter sebagai rangkaian penerima di kampung terbabit.

Menurut Dr. Ramlee juga, beliau bersama rakan pasukan iaitu Dr. Fauziahanim Che Seman dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik UTHM, Dr. Evizal Abdul Kadir dari UIR dan Dr. Ata Khalid dari CU, UK, mendapat kerjasama yang baik daripada Ketua Kampung iaitu Encik Martinus, dan penduduk kampung terbabit sepanjang melaksanakan projek ini.

“Menerusi projek ini, kemudahan Internet dapat diakses oleh penduduk kampung bagi membolehkan mereka meningkatkan lagi sumber ekonomi dan mutu pendidikan masing-masing selaras dengan matlamat yang telah digariskan dalam Sustainable Development Goals (SDGs).

“Projek ini diharap dapat meningkatkan lagi ekonomi masyarakat setempat dan mampu memberi manfaat  khususnya dalam proses komunikasi seperti keperluan pembelajaran jarak jauh di era pandemik Covid-19 ini,” katanya.

Jelas Dr. Ramlee lagi, pasukannya yang diwakili Dr. Evizal sudah pun menyerahkan papan tanda nama kerjasama tiga universiti baru-baru ini kepada Ketua Kampung sebagai simbolik berakhirnya pelaksanaan projek bantuan tersebut.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi),  Profesor Dr. Mohd Shahir Shamsir  Omar yang mewakili Naib Canselor UTHM turut melahirkan rasa gembira dengan kejayaan projek kerjasama tersebut.

Beliau dalam ucapannya berkata, projek khidmat komuniti ini bukan sahaja memberi kemudahan Internet kepada penduduk Kampung Mandiangin tetapi juga dapat mengeratkan lagi hubungan tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan United Kingdom.

“Dengan terlaksananya projek ini, ia juga memberi ruang dan peluang kepada tiga universiti ini untuk menjalinkan hubungan kerjasama yang lain pada masa akan datang untuk manfaat bersama,” katanya ketika berlangsungnya “Workshop: Internet Access to Support Economic and Education in Villages” pada 22 Disember secara dalam talian.

Manakala Penghulu Kampung Mandiangin, Martinus SP juga turut menyampaikan ucapan terima kasih beliau kepada pasukan terlibat.

“Kami sudah menggunakan kemudahan Internet yang diberikan dan ianya sangat bermanfaat terutama dalam membantu urusan pentadbiran kampung, kegiatan pembelajaran anak-anak sekolah dan kegiatan ekonomi masyarakat kampung,” katanya.