BATU PAHAT – Penularan pandemik Covid-19 tidak mematahkan semangat Jawatankuasa Mobiliti Outbound, Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Politeknik Ningbo (NBPT), China untuk meneruskan penganjuran Program Virtual Mobility NBPT-UTHM 2020 bagi menggantikan program mobiliti outbound secara fizikal.

Virtual Mobility ini melibatkan 21 orang pelajar FPTV yang telah mengikut program ini selama empat minggu bermula 13 November hingga 04 Disember lalu. Sebagai balasan kerjasama, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) juga turut mengadakan pemindahan ilmu kepada 30 pelajar NBPT, China.

Menurut penyelaras program, Dr. Nurul Hidayah Liew Abdullah program ini diisi dengan sesi perkongsian berkaitan perbezaan kebudayaan Cina antara dua negara Malaysia-China serta perkongsian berkaitan keindahan bandar Ningbo yang terkenal dengan hasil laut.

Tambah beliau pembelajaran bahasa Cina secara dalam talian tidak menimbulkan sebarang masalah kerana aktiviti yang disediakan adalah secara interaktif.

 “Mereka juga berpeluang mempelajari pembuatan pelbagai jenis bancuhan kopi seperti espresso, latte dan mocha secara ‘live’ dari NBPT.

“Ilmu perniagaan e-dagang rentas sempadan juga disampaikan dengan perkongsian kepesatan dagangan antarabangsa dan aplikasi global yang membantu melonjakkan ekonomi China,” katanya.

Menurut Dr. Hidayah juga, pelajar yang mengikuti program ini majoritinya memberi maklum balas yang positif kerana mereka dapat menambahkan lagi pengetahuan dan pengalaman pembelajaran secara dalam talian di peringkat antarabangsa.

Menurut Lynzel anak Usak, dia tertarik dengan modul How to make Espresso Based Drinks yang merupakan bidang kursusnya sebagai pelajar katering.

Manakala pelajar, Ray Raydhem Radani pula berpendapat bahawa program yang dijalankan secara kreatif seumpama ini berjaya menggantikan mobiliti secara fizikal dan memberi impak yang sangat positif terhadap dirinya.

Maklum balas seperti itu juga membuktikan program Mobiliti dengan kerjasama NBPT-China Center, Malaysia dan UTHM-Malaysia TVET and Culture Center, China ini berjaya meningkatkan motivasi peserta untuk terus menimba ilmu dan pengalaman walaupun berada dalam situasi sukar.

“Garapan perkongsian pengetahuan yang diperoleh melalui program ini diharap dapat meningkatkan keyakinan dan kekuatan fizikal dan metal pelajar dalam apa jua situasi,” kata Dr. Hidayah.