PAGOH – Bagi menyokong usaha Kementerian Pengajian Tinggi dan universiti meningkatkan penglibatan industri dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran, Jabatan Teknologi Kejuruteraan Awam, Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bekerjasama dengan syarikat Bina Initiatives menganjurkan program “Construction Industry Week @FTK 2020 (CIW @FTK 2020)” secara dalam talian pada 6 hingga 10 Disember 2020 lalu.

Program yang pertama kali dianjurkan ini mendapat sambutan luar biasa apabila berjaya menarik lebih 10 ribu tontonan bagi mengikuti 10 slot menarik berkaitan cabaran dan teknologi pembinaan masa kini yang disampaikan oleh pakar-pakar dari institusi dan industri.

Menurut Pengarah program CIW @FTK2020, Ts. Dr. Tuan Noor Hasanah Tuan Ismail idea untuk mengadakan program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada pelajar FTK tentang isu, cabaran dan realiti sebenar di industri pembinaan terutamanya dalam menghadapi pandemik Covid-19.

Tambah beliau program ini dijadikan medium perkongsian ilmu, pengalaman dan isu-isu di lapangan dalam pembelajaran norma baharu di samping memberi peluang kepada para peserta untuk berinteraksi terus bersama wakil-wakil industri.

“Menariknya program secara maya ini bukan sahaja disertai oleh pelajar dan staf UTHM malah turut mendapat sambutan yang baik dalam kalangan industri, institusi luar selain turut mendapat liputan luas sehingga ke negara jiran,” katanya.

Manakala Ketua Jabatan Teknologi Kejuruteraan Awam, Profesor Madya Ts. Dr. Norshuhaila Mohamed Sunar berkata, program seumpama ini adalah satu usaha yang baik dalam memastikan kerjasama yang erat dapat diteruskan serta memperkukuhkan lagi peranan industri di universiti.

“Melalui program kerjasama sebegini, peserta dapat mengukuhkan lagi ilmu bidang pembinaan selari dengan perkembangan teknologi terkini sekali gus dapat merealisasikan hasrat jabatan dalam memperkasakan jaringan serta keterlibatan industri dalam kurikulumnya,” ujar beliau.

Kenyataan tersebut turut disokong Dekan FTK, Profesor Madya Ts. Dr. Jumadi Abdul Sukor yang berpendapat usaha ini adalah salah satu alternatif yang baik dalam memastikan pelajar sentiasa mendapat ilmu yang berkaitan. Beliau berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan di peringkat yang lebih tinggi pada masa akan datang.

Seramai 15 pengucaptama telah dijemput untuk berkongsi ilmu, pengalaman dan kepakaran masing-masing iaitu NV Kumaran, Pengurus Besar Bina Initiatives; Dato’ Sr Zulkefli Mohd Zain, Pengarah Design Cost Consultant; Ts. Dr. Faridahanim Ahmad, Pensyarah Kanan dari Universiti Teknologi Malaysia; Ir. Muhammad Hanafi Selamat, Jurutera Awam dari Jabatan Kerja Raya; Ir. Dr. Loke Kean Hooi, Pengarah Asia Timur, Tensar International Limited; Tan Guan Han, Pengarah Urusan Sonicon Construction; Gary Lee, Pengurus Novade; Norhayati Yusoff, Jurutera Geoteknik, Petronas; Michael Tan, Pengurus Besar Bina Schedulers; Bruce Kong Pengurus Pemasaran Bina Initiatives; Muhamad Hafiz Zaini, Pembantu Pengurus BIM, Bina Initiatives; Punitha Devi Palany Kumar, Pakar Penyelesaian Kawalan Projek Kanan; Nurul Farhana Rozman, Penyelaras BIM Bina Initiatives; Ngan Sheng Wa, Pengurus Jualan Lloyd’s Register dan Cik Koi Swee Ling, Jurutera Saluran Paip Bersepadu, Petronas.

Program ini juga turut menjemput Pelatih Neuro Linguistik Program (NLP), Profesor Madya Dr. Angzzas Sari Mohd Kassim dari UTHM bagi menjayakan slot motivasi khusus untuk para pelajar meningkatkan semangat mereka dalam mengikuti pembelajaran sepanjang pandemik Covid-19.