Oleh Ts. Dr. Azrin Hani Abdul Rashid

Rentetan kejayaan memperolehi geran Antarabangsa Suruhanjaya Eropah (ERASMUS+), empat pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) telah menyertai latihan Training of Trainers (TOT) secara dalam talian berkaitan pemerkasaan dan pemodenan kurikulum  bagi Kejuruteraan dan Teknologi Tekstil pada 11 hingga 18 Januari 2021.

Mereka yang teribat iaitu Ts. Dr. Siti Hana Nasir, Ts. Dr. Azrin Hani Abdul Rashid, Ts. Dr. Siti Aida Ibrahim dan Ts. Dr. Mohd Nazrul Roslan berpeluang mewakili Malaysia menyertai TOT yang pertama dianjurkan di bawah kluster projek Smart Textiles (SMARTEX).

Selain Malaysia, rakan kerjasama yang terlibat bagi projek ini adalah dari Greece, Belgium, Spain, Jerman, Itali, Indonesia dan Pakistan.

Program latihan ini melibatkan pengisian seperti pendedahan berkaitan “Quality Framework” serta “Best Practice and Adaptation” bagi pelaksanaan latihan industri dan mobiliti antarabangsa.

Manakala sesi  perkongsian pengalaman serta kajian kes daripada pihak industri dan pelajar juga turut diadakan bagi melengkapkan latihan.

Latihan-latihan yang diberikan dalam TOT merupakan salah satu bentuk perpindahan ilmu yang disampaikan oleh universiti dan pusat latihan dari negara-negara maju di Eropah seperti University of West Attica, Greece; IDEC, Greece; Ghent University, Belgium dan Polytechnic University of Valencia, Spain.

Menariknya, pihak penganjur turut menyediakan “virtual tour” ke kampus mereka bagi melihat fasiliti dan kemudahan makmal.

Ketua projek ERASMUS+, Dr. Siti Hana turut diberi peluang untuk menerangkan kaedah pelaksanaan latihan industri serta mobiliti di UTHM. Selain itu perbincangan meja bulat juga diadakan sebagai refleksi dan diskusi berkaitan isu dan keperluan pelajar bagi menjalani latihan industri serta mobiliti khususnya di negara-negara Eropah.

Menurut Dr. Siti Hana, melalui program Erasmus+ ini, tiga orang pelajar UTHM akan ditaja untuk menjalani latihan industri dan mobiliti berkredit bersama beberapa syarikat tekstil di Eropah.

“Selain pelajar, staf juga akan turut diberi peluang untuk menjalani mobiliti di negara-negara Eropah terpilih,” katanya.

 

 

Project reference number 610465-EPP-1-2019-1-EL-EPPKA2-CBHE-JP