BATU PAHAT – Profesor Dr. Azme Khamis, 51 dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang baharu untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa mulai 1 Disember 2020 sehingga 30 November 2023.

Pelantikan yang dibuat oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad itu adalah bagi mengisi jawatan yang sebelum ini disandang oleh Profesor Dr. Ismail Abdul Rahman yang telah tamat tempoh lantikannya.

Menyingkap kepimpinannya yang terdahulu, Dr. Azme menyandang jawatan sebagai Dekan Pusat Pengajian Siswazah selepas menjawat beberapa jawatan penting lain antaranya Pengarah Pusat Pembangunan dan Latihan Akademik, Dekan dan Timbalan Dekan Fakulti Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan.

Untuk rekod, beliau juga pernah diamanahkan dengan jawatan Menjalankan Tugas sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) selama tujuh bulan pada tahun 2017.

Anak jati kelahiran Johor ini mendapat pendidikan sarjana muda dan sarjana di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang statistik, seterusnya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah Matematik dari Universiti Teknologi Malaysia.

Dr. Azme yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang pengajaran turut berkongsi ilmu menerusi ratusan penerbitan ilmiah melibatkan buku, jurnal, kertas polisi dan prosiding sehingga melayakkan beliau menerima beberapa anugerah penerbitan di peringkat universiti.

Sebagai seorang Profesor di Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi, beliau telah menyelia kira-kira 50 pelajar melibatkan pelajar pasca siswazah dan sarjana muda dan turut bertindak sebagai panel pemeriksa untuk pembentangan tesis peringkat sarjana dan doktor falsafah di dalam dan luar universiti.

Bagi melengkapkan sumbangannya dalam perkhidmatan, Dr. Azme turut aktif dalam aktiviti penyelidikan sebagai ketua penyelidik dan juga penyelidik untuk beberapa jenis geran termasuklah Fundamental Research Grant Scheme (FRGS).

Sementara itu Naib Canselor, Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly mewakili seluruh warga UTHM turut mengucapkan tahniah atas pelantikan tersebut.

“Saya berharap Dr. Azme akan terus menyumbang ilmu, idea dan kepakaran beliau demi kecemerlangan universiti serta pengajian tinggi negara,” katanya.