Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly menyeru warga kerja universiti untuk menyemak, menilai dan merancang semula perubahan kerja terutama dalam fungsi organisasi dan sumber manusia ketika negara masih dibelenggu dengan penularan Covid-19.

Menurut beliau dalam keterbatasan pergerakan akibat pandemik, semua warga kampus perlu mempunyai jiwa dan minda yang terbuka dalam menghadapi norma baharu pada ketika ini termasuklah cara kerja dan corak pemikiran bagi memastikan sistem pendidikan serta pentadbiran universiti berjalan lancar.

Datuk Wahid berkata demikian ketika berlangsungnya Majlis Amanat Naib Canselor UTHM 2021 pada 1 Februari lalu yang diadakan secara dalam talian menerusi aplikasi Zoom.

Terdahulu, beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua yang telah bertungkus lumus dalam memastikan sasaran  atau Key Performance Indicator (KPI) tahun lalu dapat dicapai walaupun sistem pendidikan negara kini turut terkesan dengan penularan pandemik Covid-19.

“Saya berharap pada tahun 2021 ini, kita semua dapat mencapai KPI lebih 90 peratus dalam lapan kluster berikut iaitu Enrolmen Pelajar, Pelajar Antarabangsa, Kebolehpasaran Graduan, Penjanaan Pendapatan, Penerbitan, Dana Penyelidikan Baharu, Perundingan dan Pengujian Industri serta Program Khidmat Masyarakat,” katanya.

Datuk Wahid juga turut mengimbas kembali intipati amanat Menteri Pengajian Tinggi baru-baru ini yang memberi perhatian kepada beberapa perkara antaranya agenda memperkasakan lagi pendigitalan pendidikan, memantapkan jaringan kolaborasi strategik, memperkukuh kebolehpasaran graduan, memacu kesejahteraan komuniti, mempersada kecemerlangan institusi dan menyemarakkan semangat KPT Prihatin.

Selain itu, Datuk Wahid turut memperkenalkan empat paradigma baharu UTHM yang perlu dihayati dan dilaksanakan oleh warganya iaitu kaedah PdP norma baharu, pemerkasaan TVET, penggunaan aplikasi DNA GRITT kepada graduan UTHM serta pembentukan ekosistem technopreneur dalam kalangan warga UTHM.

“Untuk merealisasikan keempat-empat perubahan paradigma ini, kita mestilah melakukan dengan lebih cekal dan berintegriti, disertai dengan niat yang betul selain turut memahami dan menghayati konsep paradigma tauhid,” ujar beliau.

Secara keseluruhannya beliau mengingatkan warga kerja untuk memberi lebih perhatian kepada beberapa perkara antaranya pencapaian 95 peratus kebolehpasaran graduan, meningkatkan jumlah kolaborasi industri baharu, empat laluan kerjaya staf akademik, penstrukturan semula fungsi organisasi dan pelaksanaan perubahan transformasi digital.

Beliau juga berharap penubuhan Sultan Ibrahim International Business School, MRT-UTHM Rail Academy dan Innovation Park di setiap kampus dapat direalisasikan seperti yang telah dirancang bermula pada tahun ini. Manakala bantuan baucar komputer riba bersasar dan berfasa dapat diberikan kepada kumpulan pentadbir bagi memudahkan lagi urusan perkhidmatan masing-masing.

Turut diadakan, pelancaran buku “Sasaran Kerja Tahunan Universiti 2021” terbitan Pejabat Perancangan Strategik dan Pengurusan Risiko. Buku ini diterbitkan saban tahun bertujuan untuk dijadikan rujukan barisan kepimpinan universiti dalam merangka aktiviti bagi mencapai sasaran tahunan.